Kakitangan Malindo Air maut kereta dipandu terbabas - Utusan Malaysia

Kakitangan Malindo Air maut kereta dipandu terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Seorang kakitangan syarikat penerbangan Malindo Air maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dalam satu kejadian di Kilometer 18.8, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nurul Asiqin Mohamad, 27, yang berasal dari Raub, Pahang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, ketika kejadian mangsa yang memandu secara sendirian dari arah Saujana Putra menghala ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa yang dipercayai dipandu laju telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tepi lebuh raya terbabit. Susulan pelanggaran itu, kereta mangsa terhumban hampir 50 meter dari bahu jalan lebuh raya terbabit.

“Mangsa juga dipercayai terpelanting keluar dari keretanya kerana ketika anggota sampai mayat mangsa berada di luar kereta yang terbalik dan remuk pada bahagian depan dan belakang,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azizan berkata, mayat mangsa yang juga pengurus tugasan syarikat penerbangan dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan sebenar dan orang ramai atau saksi kejadian boleh menyalurkan maklumat terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03- 3187 2222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×