JPJ kaji semula tahap keselamatan di semua stesen penguatkuasaan - Utusan Malaysia

JPJ kaji semula tahap keselamatan di semua stesen penguatkuasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 10 Feb. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji semula tahap keselamatan di kesemua stesen penguatkuasaannya di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kajian semula itu melibatkan beberapa aspek termasuk dari segi kedudukan balai pengawal dan kamera litar tertutup (CCTV) serta lokasi kenderaan diletakkan.

Katanya, kajian juga akan dilakukan berhubung keperluan membina tembok batu mengelilingi stesen berkenaan berikutan pagar sedia ada mudah dipotong.

“Sebagai agensi penguat kuasa, kita boleh jangka perkara (masalah ) ini. Ini kerana apabila kita menjalankan operasi, pelbagai perkara yang akan datang.

“Sebab itu kita mempunyai Unit Keselamatan JPJ yang ditubuhkan di ibu pejabat dan pejabat JPJ di setiap negeri bagi menangani masalah seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas program advokasi dan pemantauan sempena Op Tahun Baharu Cina di Terminal Amanjaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi, Selasa lalu, lima buah kenderaan termasuk tiga kenderaan agensi penguat kuasa terbakar disyaki berpunca akibat perbuatan khianat.

Dua buah kenderaan lain yang terlibat ialah kereta Volvo milik orang awam yang disita atas kesalahan kereta klon dan nombor casis.

Menurut Wan Ahmad Uzir, setakat ini, ketua cawangan dan anggota JPJ di stesen berkenaan serta pengawal bertugas dan pemilik dua kenderaan awam telah dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan.

Katanya, pihaknya sedang menunggu hasil siasatan pihak polis dan akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan pihak yang terlibat dapat diberkas dengan segera.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak sesekali menggentarkan semangat pegawai dan anggota kita dalam menjalankan tugas penguatkuasaan.

“Kita tidak akan takut, tidak akan undur dengan amaran, tekanan dan ugutan itu. Kita akan terus menjalankan penguatkuasaan meskipun pelbagai masalah yang datang,” katanya.

Habis..

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×