ALOR SETAR 7 Feb. – Perseorangan kedua, Soong Joo Ven berpuas hati kerana diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan Kumpulan C menentang Myanmar di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu juga tidak menghampakan para penyokong apabila berjaya menyumbang mata kedua negara selepas menundukkan Aung Myo Htoo 21-9, 21-7 dalam tempoh 22 minit.
Pemain yang berasal dari Ampang itu berharap penampilannya hari ini dapat membantunya untuk mendapatkan tempat dalam aksi menentang Taiwan, esok.
“Saya berpuas hati kerana dapat peluang beraksi dan berharap persembahan saya akan membantu mendapatkan tempat dalam aksi esok.
“Seandainya diberi peluang beraksi esok, saya hanya akan beri tumpuan kepada permainan saya sahaja dan enggan memikirkan sama ada saya akan menjadi penentu kemenangan atau kekalahan negara,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.- UTUSAN ONLINE










