Israel serang kedudukan Iran di Syria - Utusan Malaysia

Israel serang kedudukan Iran di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS – Israel menyerang apa yang dikatakannya sebagai kedudukan Iran di Syria kelmarin dalam serangan ‘berskala besar’ selepas sebuah jet pejuang Rejim Zionis terhempas ditembak sistem pertahanan udara Syria.

Israel berkata, serangan balas itu menyasarkan sistem pertahanan udara Syria dan posisi militia Iran.

“Semuanya 12 sasaran termasuk tiga unit pertahanan udara dan empat kedudukan Iran yang merupakan sebahagian daripada penempatan ketenteraan Teheran di Syria telah diserang,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, dua kru jet F16 Israel yang ditembak jatuh itu dipastikan masih hidup selepas menyelamatkan diri menggunakan kerusi anjal.

Mereka mendarat di Israel dan dibawa ke sebuah hospital.

Rejim Zionis berkata, konfrontasi dengan Syria itu bermula selepas sebuah dron Iran menceroboh ruang udaranya sebelum dipintas dan dimusnahkan oleh sebuah helikopter Rejim Zionis.

Rentetan konfrontasi paling serius antara dua musuh ketat itu sejak perang saudara Syria bermula pada tahun 2011, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, beliau berikrar akan menghalang kehadiran tentera Teheran di Syria sehingga boleh mengancam Israel.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) menyokong Israel dan menyalahkan Iran berhubung peningkatan konfrontasi itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula meminta keganasan di Syria segera dihentikan, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Ini kali pertama Israel membuat pengakuan terbuka menye­rang kedudukan Iran di Syria sejak perang saudara tercetus di negara itu.

Terdahulu, Iran menafikan ‘pembohongan’ Israel dan berkata, Syria berhak mempertahankan diri apabila ia diserang.

Dalam satu lagi kenyataan berasingan, Iran dan sekutu Syria lain iaitu Rusia dan kumpulan Hezbollah menafikan dakwaan pencerobohan dron Iran seperti yang didakwa oleh Israel.

Kementerian Rusia pula menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya bertenang.

Moscow memberitahu Tel Aviv bahawa situasi yang mengancam nyawa dan keselamatan askar Rusia di Syria adalah tidak boleh diterima. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×