IPD Nilai sahkan terima laporan murid dipaksa minum air panas - Utusan Malaysia

IPD Nilai sahkan terima laporan murid dipaksa minum air panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini mengesahkan telah menerima laporan kes seorang murid sekolah di Lenggeng, dekat sini yang melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas oleh ibu tirinya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada Sabtu lalu  daripada IPD Dang Wangi dan kes masih dalam siasatan awal.

“Kita akan minta laporan perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes.

“Dakwaan ibu mangsa yang mengatakan tiada tindakan susulan dibuat kerana pegawai penyiasat di IPD Nilai menganggap perkara ini adalah masalah rumah tangga berdasarkan laporan-laporan yang pernah dibuat sebelum ini, adalah tidak benar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata setiap kes yang dilaporkan kepada pihaknya akan disiasat seadilnya.

Media hari ini melaporkan seorang kanak-kanak berumur 7 tahun menderita akibat melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas yang masih menggelegak oleh ibu tirinya.

Kejadian berlaku Isnin lalu iaitu sehari selepas ibu kandungnya menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada  empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng, dekat sini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×