PENGENDALI Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim memuji aksi keseluruhan barisan pemainnya selepas berjaya menundukkan pendahulu Liga Super, Selangor 4-1 di laman sendiri kelmarin.
Jurulatih berpengalaman itu menjelaskan, kesemua pemain skuad Penyu beraksi begitu baik sekali sepanjang perlawanan selain mempamerkan kerjasama erat berpasukan.
“Saya memuji karakter setiap pemain kerana menunjukkan mutu persembahan yang baik. Kalau tidak baik, mungkin tidak dapat menjaringkan empat gol.
“Sepanjang 90 minit perlawanan, mereka berjaya bermain sebagai satu pasukan dan secara keseluruhannya, ia merupakan permainan yang hebat,” katanya ketika ditemui Kosmo! kelmarin.
Pada perlawanan ketiga Liga Super, skuad Gergasi Merah terpaksa menerima hakikat jatuh daripada takhta liga selepas diaibkan oleh skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sekali gus melonjakkan TFC I ke tangga keempat dengan lima mata.
Irfan Bakti mengakui barisan kejurulatihan TFC I telah mengkaji corak permainan Selangor dengan menghantar wakil menyaksikan aksi pasukan Lembah Klang itu menentang Melaka United baru-baru ini.
“Ketika Selangor menentang Melaka United, skuad berkenaan tidak menunjukkan sebarang kelemahan dan begitu berdisplin selain bermain dengan teratur.
“Jadi, saya terpaksa memikirkan cara sesuai untuk memecahkan kebuntuan apabila menggunakan taktikal daripada kedua-dua belah sayap sebaik mungkin pada malam ini (kelmarin).
“Ketika sesi latihan, saya ada rasa ‘gerun’ dengan barisan pemain apabila mereka menunjukkan tahap kesungguhan begitu tinggi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan sebagai jurulatih, saya perlu melakukan percaturan dengan baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai dua gol menarik oleh perancang TFC I, Lee Andrew Tuck, Irfan Bakti menyifatkan pemain import itu sebagai seorang yang amat fokus.










