PETALING JAYA – Seramai empat lelaki warga tempatan ditahan dalam tiga serbuan Ops Jol di beberapa restoran makanan sekitar Dataran Mentari dan Pekan Lama di sini semalam.
Serbuan berasingan bermula pada pukul 3.30 petang itu, telah dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, kesemua yang ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian.
“Selain tangkapan kita turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk berjudi seperti tiga unit tablet pelbagai jenama, satu unit telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM250.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke balai Polis Sungai Way untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE










