ALOR SETAR 6 Feb. – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah menyumbang mata pertama buat Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan C menentang Thailand di Kejohanan Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.
Dalam perlawanan itu, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu memerlukan hanya 33 minit untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-9 ke atas Khosit Phetpradab.
Jaguh negara itu mengakui, perlawanan kelayakan Piala Thomas itu sangat penting buat Malaysia dan dia perlu menampilkan aksi terbaik bagi memberi semangat kepada pasukan secara keseluruhan.
Sebagai perseorangan pertama negara, Chong Wei berazam untuk terus menyumbang mata pertama buat Malaysia bagi memastikan pemain-pemain lain terus bersemangat bagi mengutip mata.
“Berbanding Malaysia Masters, saya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk kejohanan ini kerana kejohanan berpasukan seperti ini sangat penting buat Malaysia.
“Memang ini baru pusingan kelayakan Piala Thomas tetapi sangat penting untuk kita semua membina keyakinan bagi aksi sebenar di Bangkok, Mei ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.
Dalam pada itu, Chong Wei juga sangat gembira dengan sokongan yang diberikan para penyokong di Kedah dan perkara itu jelas memberi semangat kepada skuad negara.
“Memang saya sudah lima tahun tidak datang ke Kedah tetapi jelas kelihatan penyokong di sini bersemangat memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia,” katanya.-UTUSAN ONLINE










