Bomba selamatkan empat beranak terperangkap kebakaran - Utusan Malaysia

Bomba selamatkan empat beranak terperangkap kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 13 Feb. – Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia 60 tahun dan tiga orang anaknya yang terperangkap dalam sebuah kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Kledang Suria, Menglembu di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan separuh sedar dan mengalami sesak nafas selepas terhidu asap.

Wanita warga emas tersebut berjaya dikeluarkan dengan bantuan jiran.

Dua anak perempuan mangsa yang berumur 19 dan 16 tahun serta seorang anak lelaki berumur 12 tahun ditemukan oleh anggota bomba, berada di tingkat atas.

Jurucakap bomba berkata, kebakaran bermula dari tingkat bawah rumah berkenaan pada ruangan tempat sembahyang di tokong di bahagian ruang tamu.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan dibantu oleh BBP Ipoh, telah melakukan pemadaman menggunakan air dari tangki jentera sehingga kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Mangsa dibawa ke hospital dengan menaiki jentera Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta ambulans hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×