KUALA LUMPUR 8 Feb. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mempercepatkan pembinaan Pasar Harian Selayang yang baharu seperti dijanjikan tiga tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Pemborong dan Peniaga Kecil Pasar Borong Kuala Lumpur, Abdul Aziz Mohd. Alias berkata, kelewatan pembinaan pasar tersebut menyebabkan peniaga mengalami kerugian hampir 50 peratus daripada pendapatan biasa setiap hari.
Beliau berkata, selepas diarahkan berpindah ke tapak jualan sementara oleh pihak berkuasa tempatan itu, sehingga hari ini tiada tanda-tanda projek tersebut akan dibangunkan.
“Pertanyaan tentang status projek tersebut telah diajukan kepada DBKL, namun peniaga tidak menerima sebarang jawapan mengenainya.
“Sampai bila peniaga mahu berniaga di tapak sementara yang sempit dan tidak selesa lebih-lebih lagi kami sering berdepan dengan masalah terputus bekalan air,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Terdahulu, kira-kira 2,000 peniaga di Pasar Harian Selayang mengadakan perhimpunan aman bagi mengesa DBKL menunaikan apa yang dijanjikan kepada mereka sebelum ini.
Tambahnya, peniaga tidak membantah sebarang projek kerajaan tetapi perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Selain pendapatan terjejas, kami juga terpaksa bersaing dengan peniaga warga asing tanpa lesen di kawasan itu,” katanya.









