BEBERAPA hari lalu kira-kira 1,536 penjawat awam yang membeli rumah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Bukit Jalil menerima kunci masing-masing. Betapa gembiranya mereka kerana sudah mampu memiliki kediaman sendiri. Pada majlis tersebut para penerima menguntum senyum yang tidak lekang daripada bibir ketika menerima kunci kediaman masing-masing. Tambah bermakna kunci itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.
Apa yang menggembirakan mereka projek yang dilancarkan pada 8 April 2015 dan dijangka siap pada Mei 2019 berjaya diserahkan kepada para pembeli 17 bulan lebih awal kerana prestasi cemerlang pemaju terlibat. Projek perumahan tersebut menjadi projek pertama seumpama itu yang dibina tanpa melibatkan sebarang kos oleh kerajaan. Ia menggunakan konsep subsidi bersilang yang mana pemaju membina rumah untuk kerajaan dan dibenarkan pula membangunkan projek di tanah bersebelahan bagi dijual pada harga pasaran kepada orang awam.
Pendekatan pembangunan berkenaan dilaksanakan secara 60:40 iaitu 60 peratus dengan keluasan 3.068 hektar tanah dibangunkan untuk PPA1M. Harga, keluasan dan kualiti binaan dikawal oleh kerajaan manakala 40 peratus lagi atau 2.044 hektar diberi kepada pemaju untuk membina rumah yang dijual mengikut harga pasaran semasa. Kerajaan menyasarkan sebanyak 200,000 unit lagi rumah berkenaan dibina untuk kakitangan awam di seluruh negara. Pada masa ini sejumlah 135,456 unit PPA1M daripada 433 projek sudah diluluskan di seluruh negara.
Bagaimanapun lain pula cerita di Selangor, sembilan projek pembinaan Rumah Selangorku di enam kawasan majlis perbandaran telah dibatalkan oleh kerajaan PKR Selangor. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad memberitahu keputusan tersebut dibuat berikutan kegagalan pemaju mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Sembilan projek membina rumah mampu milik itu bukan sedikit dan sudah tentu melibatkan beratus-ratus unit rumah dan memberi kesan kepada pembeli terlibat.
Keputusan ini sudah tentu mengecewakan ramai. Impian untuk memiliki rumah sendiri tertangguh lagi. Mereka perlu menanti tetapi sampai bila? Hasrat untuk merasa hidup di rumah sendiri mungkin sampai mati pun tidak kesampaian. Dalam keadaan harga rumah yang menggila naik tanpa boleh disekat-sekat lagi, kepada siapa lagi golongan berpendapatan rendah berharap? Sudah tentu kepada perumahan mampu milik yang disediakan kerajaan atau kerajaan negeri.
Jika inilah keadaannya sasaran ‘satu keluarga, satu kediaman’ yang dicanang oleh kerajaan negeri tidak akan tercapai. Apapun alasan yang diberikan, tindakan tersebut memberi kesan besar kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang sudah begitu lama menunggu untuk memiliki rumah sendiri. Sebahagiannya sudah mendapat kelulusan pinjaman bank.
Isu perumahan tidak kira di negeri mana sekalipun adalah isu getir yang membelenggu kehidupan rakyat terutama golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana. Isu ini sudah lama berlarutan dan tidak akan selesai sampai bila-bila. Jumlah permohonan daripada kumpulan ini semakin membesar sedangkan penawaran unit rumah amat terhad. Walaupun pengumuman tentang projek perumahan rakyat boleh dikatakan begitu banyak sekali, realiti pembinaannya amat perlahan. Ada banyak kekangan seperti masalah tanah, lokasi serta keengganan sesetengah kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Pusat. Puncanya hanyalah kerana perbezaan politik. Perbezaan tersebut menyukarkan kedua-dua pihak mencari titik penyelesaian.
Banyak juga agensi yang dipertanggungjawabkan dikatakan tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perumahan mampu milik. Tanggapan bahawa pengumuman projek perumahan untuk golongan sedemikian bukan main banyak, tetapi pembangunannya tidak seindah khabar sudah menjadi berita benar. Kalau semua agensi terlibat serius sudah tentu bilangan pemohon yang menunggu sudah berkurangan. Ada agensi yang diberi tanggungjawab sudah terikut-ikut dengan pemaju swasta yang mata duitan.
Majoriti pemaju swasta tidak berkenan dengan projek jenis tersebut kerana tidak mendatangkan untung besar. Mereka hanya mahu makan besar dan cepat kenyang sahaja. Kalaupun ada boleh dibilang dengan jari sahaja, itu pun setelah puas kerajaan ‘menegur.’
Isu ini menjadi antara isu yang sangat lunak dan menjadi halwa telinga dalam kempen politik lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. Oleh kerana masalah pemilikan rumah sangat dekat dengan rakyat terutama golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana, isu ini dicanang dengan pelbagai cara. Ketika satu pihak menggambarkan impian memiliki rumah sendiri dengan warna yang cantik-cantik, ada pihak lawan menconteng keindahan itu dengan warna-warna negatif.
Masalah perumahan rakyat tidak boleh tidak mesti diselesaikan. Jangan dibiarkan tergantung atau berlarutan. Jangan sampai isu ini menjadi barah yang tidak menguntungkan kerajaan. Sia-sialah jika perkara ini berlaku kerana selama ini kerajaan terlalu banyak membantu dan tidak putus-putus membantu.









