SELAMA – Seramai 50 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Larut hari ini bertindak keluar parti tersebut sekali gus mengumumkan menyertai UMNO.
Bekas Penaja dan Setiausaha PPBM Larut, Shafie Mohd. Khairy berkata, kesemua mereka bertindak keluar dari parti tersebut atas beberapa alasan termasuk tidak lagi meyakini parti PPBM boleh memperjuangkan hak-hak rakyat khususnya bangsa Melayu.
“Kami sedar dan yakin bahawa parti PPBM tidak lagi memperjuangkan hak rakyat sebaliknya memperjuangkan kepetingan individu-individu tertentu yang berada di dalam parti.
“Kami juga tidak mempercayai kepimpinan Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu kerana pelantikannnya dilaksanakan atas pengaruh parti DAP,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.
Borang penyertaan keahlian UMNO diserahkan Shafie kepada Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Faizul Arby Mohd. Shohor disaksikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – K! ONLINE








