KUALA NERUS – Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu akan menjalankan program berskala lebih besar bagi membantu seramai 32,161 ibu tunggal yang berdaftar di seluruh daerah untuk menjana pendapatan tetap.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, penganjuran bengkel kemahiran menjahit yang diberikan kepada golongan ibu tunggal harus dimanfaatkan sebaik mungkin demi kesinambungan hidup mereka.
“YPK Terengganu diminta melaksanakan pelbagai program yang boleh menjana pendapatan untuk golongan tersebut misalnya aktiviti menjahit yang dilakukan dalam skala lebih besar iaitu membuka kilang penyediaan pakaian berjenama.
“Pakaian-pakaian yang dihasilkan oleh ibu tunggal mengikut daerah masing-masing itu mungkin boleh dipasarkan secara meluas sehingga ke negeri-negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus Kampung Serdang Baru di sini hari ini.
Bangunan yang telah siap sejak tahun 2013 itu memberi manfaat kepada 3,658 ibu tunggal yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Teluk Pasu, Seberang Takir dan Bukit Tunggal untuk menjalankan kursus masakan, jahitan, solekan, urutan serta kelas Al-Quran.
Turut hadir, Pengarah YPK Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustaffa dan Wakil Kelab Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus, Ajizah Othman. – K! ONLINE










