Menanti beras tempatan kembali di pasaran

Menanti beras tempatan kembali di pasaran

PIHAK berkuasa akan melakukan pemeriksaan di kedai-kedai runcit yang menerima BPT, setiap kali maklumat tentang penghantaran diterima daripada pengilang atau pengedar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketiadaan beras tempatan di pasaran yang sudah ber­larutan hampir dua tahun terus menimbulkan persoalan yang sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

Meskipun negara berjaya me­lakukan rundingan dengan ke­rajaan India dalam usaha menurunkan harga beras import dari negara ber­kenaan, apa yang dilihat lebih penting adalah langkah memastikan bekalan beras tempatan kembali berada di pasaran perlu segera dilaksanakan.

Tinjauan Utusan Malaysia di se­kurang-kurangnya 10 premis ter­masuk pasar raya dan kedai run­cit di sekitar negeri ini mendapati hanya bekalan beras import memenuhi rak di situ dan ma­salah sama di negeri-negeri lain.

Pengguna tiada pilihan terpaksa membeli beras import pelbagai jenama dengan harga lebih tinggi yang mana jika dahulu mereka boleh mendapatkan beras tempatan di pasaran pada harga RM26.

Namun kini, ia hampir tidak lagi kelihatan kerana yang ada di rak-rak pasar raya dan kedai runcit semuanya dilabelkan sebagai beras import.

Pengguna, Nur Sara Mohd. Hanif, 40, berkata, sudah lama keluarganya membeli beras import dengan harga lebih mahal berikutan kesukaran mendapatkan beras tempatan termasuk di kedai-kedai runcit.

Ibu enam anak ini berkata, lazimnya beras tempatan hanya akan kelihatan seperti di program jualan Rahmah Madani atau program-program Madani.

“Saya hairan mengapa bekalan beras tempatan ini sangat sukar berada di pasaran sedangkan situasi tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Hampir dua tahun masalah bekalan beras tempatan di pa­saran berlarutan dan sejak itu, kami terpaksa membeli beras import.

“Saya harap isu beras tempatan ini dapat segera diselesaikan dan kalau boleh kita tidak mahulah ia terus berlarutan dua atau lima tahun lagi,” katanya.

Isu ketiadaan bekalan beras putih tempatan (BPT) pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim baru-baru ini yang menyaran­kan kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Ke­ter­jaminan Makanan termasuk agensi Kawal Selia Padi dan Beras untuk bercakap benar mengenai situasi beras tempatan dalam pasaran.

Soal Hassan secara sinis kepada kerajaan, apakah rakyat perlu menunggu 20 tahun atau dua penggal lagi untuk selesaikan isu bekalan BPT dan apa maknanya belanjawan berbi­lion kalau soal makanan pun tidak selesai.

Sebagai rekod, penghasilan beras tempatan, sekitar 62 hingga 63 peratus dengan import hanya kira-kira 40 peratus. Difahamkan pengeluaran beras negara ketika ini seba­nyak 1.6 juta tan metrik setahun berbanding import 1.1 juta tan metrik.

Pada 2019, Malaysia merekodkan pengeluaran 1,516,341 tan metrik beras putih tempatan manakala pada 2020 (1,624,468 tan metrik), 2021 (1,686,368 tan metrik), 2022 (1,574,960 tan metrik) dan sehingga Oktober 2023 sebanyak 1,181,911 tan metrik.

Bagi menampung keperluan 3.5 juta rakyat Malaysia, sebanyak 2.8 juta tan metrik makanan ruji tersebut diperlukan setahun.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Lyana Azizan,36, berkata, keluarganya sudah mula terbiasa dengan beras import selepas sudah agak terlalu lama beras tempatan tiada di pasaran.

“Selalunya, saya beli dua atau tiga kampit beras import berat lima kilogram pelbagai jenama yang mampu tahan sebulan atau lebih. Saya tidak pasti apa berlaku, tetapi memang agak lama beras tempatan tidak ada di pasaran,” katanya.

Seorang pengusaha kedai makan, Hafiz Hashim,38, berkata, bekalan beras import sememangnya banyak di pasaran berbanding beras tempatan yang sukar diperolehi.

“Namun sebagai peniaga, saya lebih menyukai beras import untuk para pelanggan meskipun harganya lebih mahal berbanding tempatan. Isu ketiadaan bekalan beras tempatan bukan perkara baharu yang agak lama berlarutan dan kita pun tidak tahu bila akan selesai,” katanya.

Dalam pada itu, banjir melanda di beberapa negeri yang menyebabkan sawah tenggelam sebelum ini dikhuatiri akan menjejaskan pengeluaran hasil padi musim ini yang secara tidak langsung turut menjejaskan lagi beras tempatan.

Industri padi di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Perak antaranya dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM30 juta selepas tanaman itu ditenggelami air.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abdul Rashid Yob dilaporkan berkata, kira-kira 20 hektar sawah padi terjejas sepanjang gelombang pertama Monsun Timur Laut melanda negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×