KYIV: Ukraine mendakwa pasukan tenteranya berjaya menembak jatuh sebuah pesawat pengintip jenis A-50 milik Russia.
Ia merupakan dakwaan kedua seumpama yang dibuat dalam masa lebih sebulan.
Lapor BBC, sumber pertahanan mendakwa pesawat itu ditembak jatuh di lokasi antara bandar Russia Rostov-on-Dov dan Krasnodar, kira-kira 200 kilometer (km) dari barisan hadapan.
Pasukan perkhidmatan kecemasan dilaporkan menemukan bangkai pesawat di daerah Kanevskoy dan berjaya memadamkan api di lokasi tersebut.
Setakat ini, Russia masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas berhubung dakwaan tersebut.
Hari ini genap dua tahun pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Sementara itu, Ketua Tentera Udara Ukraine Mykola Oleshchuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan perkhidmatan dan perisikan tentera kerana menembak jatuh pesawat pengesan radar jarak jauh itu.
Katanya, insiden itu bertepatan dengan cuti ketenteraan utama yang disambut Russia.
Sebuah rakaman video tular di media sosial menunjukkan pesawat itu ditembak jatuh di ruang udara, serta kepulan asap tebal menyelubungi kawasan itu.
Pihak berkuasa kecemasan Krasnodar memaklumkan sebuah pesawat terhempas berhampiran kampung Trudovaya Armenia, daerah Kanevskoy dan api berjaya dipadamkan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa itu tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut.










