TOKYO: Seorang lelaki ditahan di bandar Osaka selepas disyaki melanggar tujuh orang pelajar sekolah dengan kereta dalam satu serangan yang dipercayai disengajakan, menurut laporan media tempatan.
Pelajar-pelajar tersebut sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah apabila mereka dilanggar suspek.
Menurut penyiar awam NHK dan beberapa media lain, kesemua mangsa segera dikejarkan ke hospital dan kini dalam keadaan stabil.
Menurut laporan, suspek merupakan seorang lelaki berusia 28 tahun yang tinggal di Tokyo dan kini ditahan oleh polis Osaka atas tuduhan cubaan membunuh.
NHK melaporkan, suspek mengaku kepada polis dia bosan dengan segalanya dan sengaja bertindak melanggar pelajar-pelajar berkenaan dengan niat untuk membunuh seseorang.
Saksi memberitahu saluran Nippon TV, kereta tersebut bergerak secara berpusing-pusing semasa melanggar kanak-kanak berkenaan, dengan seorang pelajar perempuan dilihat berlumuran darah manakala yang lain mengalami luka ringan.
“Suspek memakai pelitup muka dan kelihatan terkejut semasa ditarik keluar dari kenderaan oleh guru-guru sekolah,” jelas saksi.-AFP