NEW DELHI: Lebih 50 orang maut akibat dipanah petir di beberapa negeri di India.
Pihak berkuasa memaklumkan sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh di beberapa daerah di Uttar Pradesh.
Di Jaipur, pegawai polis, Saurabh Tiwari berkata, sebanyak 11 orang maut manakala 17 lagi cedera termasuk tiga dalam keadaan kritikal akibat dipanah petir di sebuah menara di Amer Fort.
Menurut polis, ketika kejadian beberapa mangsa sedang mengambil selfie di atas menara kubu itu.
Lebih 30 orang berada di atas menara kubu itu ketika kejadian tersebut berlaku.
“Sebahagian besar mangsa yang cedera tidak sedar diri selepas dipanah petir manakala yang lain pula panik dan melarikan diri,” katanya.
Pasukan penyelamat sedang memeriksa sama ada mangsa terjatuh dalam parit di bahagian sisi menara tersebut.
Dalam kejadian berasingan, media tempatan melaporkan kira-kira 10 orang lagi maut akibat dipanah petir di Rajasthan.
Perdana Menteri, Narendra Modi menzahirkan ucapan takziah dan juga memaklumkan pampasan khas akan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang maut dalam insiden tersebut.
Berdasarkan angka rasmi, lebih 2,900 orang maut akibat dipanah petir di India pada tahun 2019. – AP/AFP










