'Jangan tuduh kami sembarangan' - Utusan Malaysia

‘Jangan tuduh kami sembarangan’

NAMA Zhengli mula jadi sebutan selepas beliau terlibat dalam kajian mengenai penyakit berkaitan kelawar sejak 2004. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang saintis wanita yang mengetuai kajian mengenai kelawar di makmal Wuhan menyelar dakwaan tentang kebocoran virus Covid-19 di pusat kemudahan itu sebagai ‘jijik’ dan menegaskan tiada di antara mereka yang jatuh sakit.

Shi Zhengli atau dikenali sebagai ‘wanita kelawar’ dituduh menjalankan eksperimen berbahaya apabila mengubahsuai virus dengan tujuan memahami ancaman yang boleh timbul daripadanya.

SHI ZHENGLI

Namun, beliau menegaskan dakwaan virus Covid-19 bocor dari Institut Virologi Wuhan adalah tidak berasas, biarpun saintis wanita itu tidak mampu menyediakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

“Bagaimana saya boleh berikan bukti sedangkan tiada bukti untuk didedahkan?

“Saya tidak tahu bagaimana dunia boleh kecoh mengenai perkara ini, sekali gus menuduh para saintis yang tidak bersalah dengan dakwaan paling jijik,” katanya kepada The New York Times.

Zhengli, 57, turut menolak dakwaan bahawa tiga rakan setugasnya jatuh sakit akibat Covid-19 sebelum pandemik bermula.

“Tiada kes (jatuh sakit) di Institut Virologi Wuhan. Jika ada, bolehkah anda berikan tiga nama saintis tersebut kepada kami untuk diperiksa,” ujarnya.

Banyak saintis menganggap apa yang didedahkan oleh Zhengli adalah benar iaitu kemungkinan Covid-19 dibawa oleh haiwan kepada manusia.

Namun, tiada bukti kukuh untuk menyokong pendedahan itu, sekali gus menyebabkan banyak pihak masih ragu-ragu dengan China.

Pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini mendedahkan terdapat saintis jatuh sakit dengan gejala Covid-19 di institut tersebut pada 2019.

Tempoh itu adalah sebulan sebelum Beijing secara rasmi melaporkan kewujudan Covid-19 kepada dunia pada 31 Disember 2019.

Nama Zhengli mula menjadi sebutan selepas beliau terlibat dalam kajian mengenai penyakit yang disebabkan oleh kelawar sejak 2004.

Pada 2017, Zhengli dan pasukannya menerbitkan satu laporan makmal mengenai eksperiman yang mereka lakukan iaitu menghasilkan koronavirus kelawar hibrid baharu dan mencampurkannya dengan virus sedia ada untuk mengkaji tahap jangkitan terhadap manusia.

Namun, Zhengli menegaskan bahawa eksperimen itu tidak bertujuan menjadikan virus tersebut lebih berbahaya, sebaliknya hanya ingin memahami bagaimana ia boleh menjangkiti manusia. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN