JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan kesediaan negaranya untuk menempatkan sementara rakyat Palestin yang terkesan akibat perang di Gaza, dengan anggaran seramai 1,000 pelarian akan tiba dalam kumpulan pertama.
Ketika memulakan lawatan rasmi ke Asia Barat dan Turkiye, Prabowo berkata, beliau telah mengarahkan kementerian luarnya untuk segera berunding dengan pihak Palestin serta negara berkepentingan lain mengenai pelaksanaan proses pemindahan tersebut.
“Kita bersedia tempatkan mereka yang cedera, trauma dan anak-anak yatim piatu,” katanya, sambil menjelaskan penempatan tersebut hanya bersifat sementara sehingga mereka pulih sepenuhnya dan keadaan di Gaza kembali selamat.
Indonesia, negara majoriti penduduk Islam terbanyak di dunia, sebelum ini telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
Perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023 susulan serangan kumpulan Hamas yang mengorbankan 1,200 nyawa dan menculik sekitar 250 individu di selatan Israel, menurut sumber pihak berkuasa Israel.
Sejak itu, lebih 50,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan balas tentera Israel, berdasarkan angka yang dikemukakan oleh pihak berkuasa Palestin.
Prabowo turut menyatakan hasrat untuk meningkatkan peranan Indonesia dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik yang sudah berlarutan lebih setahun itu.
“Komitmen Indonesia dalam menyokong keselamatan dan kemerdekaan Palestin telah mendorong kerajaan kita untuk bertindak lebih aktif,” ujar beliau, menjelang lawatan ke Turkiye, Mesir dan Qatar.
Kenyataan itu hadir dua bulan selepas Kementerian Luar Indonesia menegaskan penolakan tegas terhadap sebarang usaha untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa, susulan cadangan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza secara kekal.
Prabowo sebelum ini turut menyatakan kesediaan Indonesia untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan.-AFP