JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menegaskan banyak peruntukan Belanjawan Hasil Perbelanjaan Negeri (APBN) dan Belanjawan Hasil dan Perbelanjaan Wilayah (APBD) diuruskan secara tidak cekap.
Antara masalah yang dihadapi termasuk bajet tidak mencukupi.
Jokowi mendedahkan, terdapat beberapa daerah mengalami masalah bajet tidak mencukupi.
Katanya, masalah itu berlaku apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan bajet yang diperuntukkan untuk kegunaan lain termasuk perbelanjaan mesyuarat dan perniagaan.
“Saya semak, ada daerah yang mengalami masalah bajet tidak mencukupi sehingga 10 bilion rupiah (RM3.1 juta).
“Semak betul-betul kenapa bajet yang sudah diperuntukkan boleh berkurangan, untuk apa semua duit itu dibelanjakan?
“Jangan beritahu saya duit itu digunakan untuk beli telur, susu dan sayur sebab jika benar, tiada masalah dalam kalangan rakyat,” kata Jokowi.
Pemimpin Indonesia itu juga menjelaskan, banyak peruntukan bajet digunakan untuk tujuan yang tidak jelas dan tidak berkaitan.
Jelasnya, antara perkara yang paling banyak menelan bajet diperuntukkan adalah untuk melakukan perjalanan rasmi, mesyuarat dan mengukuhkan pembangunan yang tidak boleh dikenal pasti.
“Sepatutnya, peruntukan yang disediakan perlu mengutamakan kebajikan rakyat, keperluan mereka seperti bekalan makanan dan perubatan di sesebuah daerah.
“Bukannya digunakan untuk keperluan pegawai kerajaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Jokowi meminta semua pihak berkaitan supaya menguruskan bajet yang diperuntukkan sebaik mungkin bagi mengelakkan pembaziran perkara yang tidak sepatutnya.