‘Bapak Jokowi, kami mahu elektrik untuk belajar’

‘Bapak Jokowi, kami mahu elektrik untuk belajar’

YOAN dan rakan-rakannya belajar menggunakan pelita minyak tanah di rumah mereka di Sikka, Nusa Tenggara Timur. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAUMERE: Jarak Kampung Kepiketik, Dusun Pidang di Sikka, wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) dengan jalan utama yang menghubung Sikka dengan Larantuka di Flores Timur hanya tiga kilometer.

Namun, keadaan jalannya tidak sempurna seperti jalan raya lain, selain tiada lampu berikutan tiada bekalan elektrik di kampung tersebut.

Bagi menerangi gelap malam, penduduk hanya menggunakan pelita minyak tanah dan bagi keluarga yang sedikit berkemampuan, mereka akan membeli lampu panel solar, itupun hanya dilengkapi dengan dua mentol kecil.

Jika mahu mengecas telefon bimbit, penduduk perlu berjalan tiga kilometer.

Seorang kanak-kanak, Yoan, 9 tahun, memberitahu Kompas.com, dia dibesarkan dalam keadaan tiada bekalan elektrik, maka dia sudah terbiasa dengan situasi gelap.

Malah, untuk belajar, dia dan rakan-rakannya menggunakan pelita dan jelaga yang dihasilkan menyebabkan wajah serta hidung mereka menjadi hitam.

“Setiap malam, beginilah keadaan kami, tiada elektrik dan jalan juga banyak yang rosak.

“Bapak Joko Widodo (Jokowi), kami cuma mahu elektrik dan jalan yang baik. Kami sudah pernah belajar gunakan lampu pelita,” luah Yoan dan rakan-rakannya.

Jelas bapa Yoan, Lorensius Loren, elektrik dan jalan yang baik merupakan keperluan utama mereka untuk jalani rutin harian, termasuk ke sekolah, pasar dan klinik kesihatan.

Katanya, wanita yang ingin melahirkan anak perlu ditandu sejauh lebih tiga kilometer untuk sampai ke pusat kesihatan.

“Disebabkan tiada bekalan elektrik dan penat belajar guna lampu pelita, ramai anak-anak berhenti sekolah, mereka tidak mahu belajar lagi.

“Apa akan jadi pada generasi kami sekiranya semakin ramai yang berhenti sekolah? Kami juga mahu maju, ada kehidupan yang baik.

“Maka, diharapkan kerajaan peka dan segera bantu kami di sini. Cukuplah ada elektrik dan jalur jalan yang baik,” luahnya.

Kampung Kepiketik dihuni 75 keluarga dengan jumlah penduduk seramai 220 dan kebanyakannya merupakan petani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN