BANGKOK: Vaksin Covid-19 pertama keluaran Thailand, ChulaCOV-19 yang dibangunkan oleh pasukan saintis di Universiti Chulalongkorn dijangka didaftarkan untuk kelulusan penggunaan kecemasan pada pertengahan tahun depan.
Menurut pasukan saintis tersebut, vaksin itu menunjukkan hasil ujian klinikal yang menggalakkan setakat ini dan ujian fasa ketiga terhadap manusia sudah pun dilakukan pada Mac lalu.
Pada April dan Mei lalu, pasukan saintis menganalisis hasil ujian klinikal ketiga sebagai persediaan untuk dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Thailand.
Jika tiada masalah, universiti tersebut berharap vaksin Covid-19 yang mereka hasilkan boleh mendapat kelulusan penggunaan kecemasan menjelang pertengahan tahun depan.
Sekiranya berjaya mendapatkan kelulusan penggunaan kecemasan, ujian klinikal fasa empat akan dilaksanakan melibatkan kira-kira 30,000 sukarelawan.
Ujian itu akan menunjukkan kadar keberkesanan vaksin yang dihasilkan.
ChulaCOV-19 dilaporkan hanya menyebabkan kesan sampingan yang minimal iaitu demam ringan, selain dilihat berupaya menentang jangkitan Covid-19 termasuk varian Delta.