Iran serang Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata - Utusan Malaysia

Iran serang Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata

JEJAK roket kelihatan di langit ketika serangan Iran di langit pantai Israel, Netanya semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Siren amaran serangan udara bergema di Israel pada Ahad apabila tenteranya memaklumkan bahawa ia berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, iaitu serangan pertama seumpama itu sejak gencatan senjata pada April berkuat kuasa dalam perang di Asia Barat.

Pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Iran menyifatkan serangan itu sebagai satu amaran selepas Israel menyerang pinggir selatan Beirut pada awal hari yang sama dan mengancam akan melancarkan serangan yang lebih meluas sekiranya pencerobohan berulang.

Gencatan senjata yang bermula pada 8 April telah menghentikan permusuhan besar antara Iran dengan musuhnya, Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menyerang Teheran pada 28 Februari lalu

Namun, usaha untuk menukar gencatan senjata itu kepada satu penyelesaian berkekalan sering menemui jalan buntu dan pelancaran peluru berpandu pada Ahad dijangka terus menjejaskan harapan untuk mencapai keamanan yang berkekalan ketika perang di Asia Barat memasuki hari ke-100.

Sementara itu, Israel menuduh Teheran melakukan kesilapan besar melalui serangan tersebut, yang menurut tentera Israel,  ia melibatkan 11 peluru berpandu, semuanya berjaya dipintas tanpa sebarang korban jiwa.

Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir berikrar bahawa tenteranya akan menyerang Iran dengan kekuatan penuh sebaik sahaja lampu hijau diberikan.

Teheran menyatakan bahawa sebarang perjanjian untuk menamatkan perang secara kekal mesti turut menghentikan konflik selari di Lubnan, di mana Israel sedang menjalankan kempen ketenteraan terhadap Hizbollah yang disokong Iran.

Iran sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu ke atas Beirut akan mencetuskan penyambungan semula permusuhan secara besar-besaran.

Pada Ahad, pejabat Netanyahu mengumumkan bahawa tentera Israel telah menyerang sebuah pusat arahan militan di kawasan Dahiyeh, Beirut, sebagai tindak balas terhadap serangan Hizbollah ke atas wilayah Israel.

Serangan itu mengorbankan dua orang dan mencederakan 20 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Israel sebelum ini memberi amaran bahawa ia akan menyerang kawasan tersebut sekiranya Hizbollah menyerang utara Israel dan kumpulan itu kemudian mengesahkan telah melancarkan peluru berpandu serta dron ke dua berek tentera Israel pada awal pagi Ahad.

Mohammad Bagher Ghalibaf, Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding Tehran dalam rundingan dengan Washington, menuduh AS memberikan “lampu hijau” kepada serangan di Beirut itu, sambil menyatakan aset Amerika dan Israel kini menjadi “sasaran yang sah”.

Ketua Markas Pusat Tentera Iran pula berkata, Israel telah melangkaui semua garis merah dengan serangan ke atas Beirut dan menuntut supaya kempen ketenteraannya di Lubnan dihentikan.

“Operasi malam ini (terhadap Israel) adalah satu amaran,” kata Kor Pengawal Revolusi Iran.

“Jika pencerobohan seperti ini berulang, tindak balas akan menjadi lebih meluas dan akan meliputi semua sasaran Amerika-Zionis di rantau ini,” tambahnya.

Tidak lama selepas serangan itu, Iran mengumumkan penutupan ruang udara di bahagian barat negara tersebut, manakala negara jiran Iraq dan Syria turut mengambil langkah yang sama.

Teheran juga menggantung semua penerbangan masuk ke lapangan terbang antarabangsanya, menurut laporan media tempatan pada Ahad. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN