Pembunuhan Zawahiri dirancang sejak Mei, Biden beri persetujuan

Pembunuhan Zawahiri dirancang sejak Mei, Biden beri persetujuan

AYMAN AL-ZAWAHIRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Semalam, Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam serangan dron di kediamannya di Kabul, Afghanistan.

Namun, perkara itu diragui kerana beberapa gambar di lokasi kejadian menunjukkan tiada kesan letupan yang menjelaskan berlakunya serangan, selain pihak berkuasa AS menegaskan tiada pihak lain cedera dalam insiden berkenaan.

Hal itu secara tidak langsung menunjukkan AS berkemungkinan menggunakan peluru berpandu Hellfire R9X yang dilengkapi dengan enam bilah pisau yang mampu membunuh sasarannya tanpa menyebabkan letupan.

Penggunaan senjata itu sehingga kini tidak pernah diakui oleh Pentagon atau CIA dan R9X mula mendapat perhatian selepas kematian pemimpin kanan al-Qaeda, Abu al-Khayr al-Masri yang terbunuh dalam satu serangan ketika menaiki kenderaan di Syria pada Mac 2017.

Sejumlah imej menunjukkan kenderaan yang dinaiki Abu al-Khayr berlubang pada bahagian bumbung, dengan semua bahagian dalaman kereta itu musnah.

Namun, bahagian depan dan tepi kenderaan terbabit langsung tidak terjejas.

Sejak 2017, semua sasaran yang dipercayai diserang dengan senjata tersebut menunjukkan kesan serupa.

Kemudian, sedikit demi sedikit maklumat mengenai peluru berpandu yang digelar sebagai ‘ginsu terbang’ atau pisau terbang itu mula didedahkan.

Selain itu, senjata tersebut turut digelar sebagai bom ninja’ dan sering menjadi pilihan pihak berkuasa AS untuk membunuh mana-mana pemimpin ekstremis dan pada masa yang sama ingin mengelakkan kematian penduduk awam.

Kesimpulannya, mungkin senjata yang sama digunakan CIA untuk menamatkan riwayat Ayman.

Menurut kenyataan pegawai kerajaan, pada pagi 31 Julai, Zawahiri berdiri berseorangan di balkoni rumahnya apabila serangan dron dilancarkan.

Berdasarkan imej yang dirakam, hanya tingkap di satu tingkat yang pecah, manakala bahagian lain di kediaman berkenaan tidak terjejas.

Keluarga Ayman turut berada di kediaman itu ketika serangan berlaku, namun tiada seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

“Kami boleh pastikan tiada pihak lain cedera atau terkorban dalam serangan itu,” jelas pegawai berkenaan yang tidak mendedahkan identitinya.

BIDEN UMUM KEMATIAN ZAWAHIRI

Kematian Ayman diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden.

“Keadilannya sudah terlaksana dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi,” katanya dalam kenyataan.

Operasi itu merupakan yang terbesar sejak pengasasnya, Osama bin Laden dibunuh oleh tentera AS pada 2011 ketika era pentadbiran Barack Obama.

Serangan yang menyasarkan Zawahiri sudah dirancang sejak Mei dan Jun lalu, menyaksikan pihak berkuasa AS terus meneliti dan memantau kediaman pemimpin itu di Kabul.

Mereka mengkaji pembinaan kediaman tersebut untuk menyasarkan Zawahiri sehingga dia terbunuh tanpa mencederakan mana-mana pihak lain.

Pihak berkuasa kemudiannya ‘mempersembahkan rancangan’ mereka kepada Biden pada 1 Julai lalu dan pada 25 Julai, Presiden AS itu akhirnya memberi kebenaran melancarkan serangan terbabit.

ARAB SAUDI SAMBUT BAIK

Dalam pada itu, Arab Saudi menyambut baik pengumuman yang dibuat AS mengenai kematian Zawahiri.

“Seluruh negara menyambut baik pengumuman tersebut dan berakhirnya riwayat ketua pengganas itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian luar negara tersebut.

Menurut kementerian terbabit, Zawahiri merupakan antara ketua pengganas yang merancang melancarkan pelbagai serangan keganasan di AS, Arab Saudi dan beberapa negara lain di seluruh dunia.

“Ribuan nyawa tidak bersalah melibatkan pelbagai warga negara, bangsa dan agama menjadi mangsa serangan keganasan yang dirancang oleh Zawahiri.

“Arab Saudi sekali lagi menegaskan pendirian bahawa tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap mana-mana kegiatan keganasan dan sentiasa bersedia untuk mencegahnya bagi melindungi rakyat,” jelas kementerian itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa AS menawarkan ganjaran AS$25 juta (RM111 juta) kepada mana-mana pihak yang membantu penahanannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya