RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kanak-kanak dari semua peringkat umur dibenarkan memasuki Masjidilharam di Mekah, lapor Saudi Gazette.
Pengumuman itu dikeluarkan oleh kementerian berkenaan dalam akaun Twitter rasminya dengan menyatakan ibu bapa kini dibenarkan membawa anak-anak bersama mereka masuk ke Masjidiharam.
Kementerian itu turut menjelaskan kaedah pengeluaran permit untuk kanak-kanak.
Mereka yang berumur lima tahun ke atas perlu mendapatkan permit khas melalui aplikasi Eatmarna, manakala ibu bapa dibenarkan membawa anak di bawah usia lima tahun untuk masuk ke Masjidilharam tanpa perlu mendapatkan permit.
Sementara itu, pemegang semua jenis visa dan pelawat dari mana-mana negara yang pergi ke Arab Saudi untuk tujuan pelancongan dan lawatan turut dibenar menunaikan umrah sepanjang berada di negara itu.