BAITULMUQADDIS: Israel melaporkan kadar keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech menunjukkan penurunan dalam membendung jangkitan dan kes simptomatik Covid-19.
Kementerian Kesihatan Israel bagaimanapun memaklumkan vaksin itu merekodkan kadar keberkesanan yang tinggi dalam mencegah kes jangkitan yang serius.
Keputusan itu dilihat bertepatan dengan penularan varian Delta dan penamatan peraturan penjarakan sosial di Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan, kadar keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech bagi membendung jangkitan dan kes simptomatik Covid-19 menurun kepada 64 peratus sejak 6 Jun lalu.
Pada masa sama, vaksin Pfizer-BioNTech merekodkan kadar keberkesanan sebanyak 93 peratus dalam memerangi kes kemasukan hospital dan jangkitan teruk akibat Covid-19.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Israel tidak menyatakan sebarang perincian mengenai tahap keberkesanan dicatatkan sebelum ini.
Namun, pada Mei lalu, pegawai kementerian mengeluarkan laporan bahawa dua dos suntikan vaksin Pfizer mampu memberikan perlindungan lebih daripada 95 peratus terhadap jangkitan dan penyakit teruk akibat Covid-19. – REUTERS










