WASHINGTON: Mahmoud Khalil, bekas aktivis pelajar yang ditahan lebih tiga bulan berhubung penglibatannya dalam demonstrasi proPalestin, telah memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak AS$20 juta (RM94 juta) terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, atas dakwaan penahanan salah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada Khamis, Mahmoud mendakwa dirinya difitnah, dipenjarakan tanpa alasan sah, dan menjadi mangsa pendakwaan bermotif politik oleh agensi-agensi persekutuan termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Perkhidmatan Imigresen dan Kastam (ICE) serta Jabatan Negara AS.
“Saya ingin membuktikan mereka tidak boleh sesuka hati membuli aktivis dan mendiamkan suara kami,” kata Khalil dalam wawancara bersama agensi berita AP.
Tuntutan tersebut dijangka menjadi langkah awal sebelum saman penuh dikemukakan di bawah Akta Tuntutan Tort Persekutuan (Federal Tort Claims Act).
Mahmoud, yang pernah menjadi jurucakap utama bagi protes proPalestin di Universiti Columbia, turut menyatakan hasrat untuk menggunakan wang ganti rugi jika diperoleh bagi membantu aktivis lain yang turut menjadi sasaran tekanan politik pentadbiran Trump.
Dilahirkan di Damsyik, Syria kepada ibu bapa warga Palestin, Mahmoud menjadi antara wajah utama gerakan solidariti mahasiswa pro-Palestin di AS selepas serangan Israel ke atas Gaza tercetus pada Oktober 2023.
Pada hari pertama kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu, Trump mengeluarkan beberapa perintah eksekutif yang antara lain mengarahkan pengusiran warga asing yang dianggap mempunyai sikap bermusuhan terhadap Amerika Syarikat atau menyokong ancaman terhadap keselamatan negara.
Mahmoud menjadi individu pertama yang ditahan di bawah arahan keras tersebut dan video yang dirakam oleh isterinya menunjukkan dia digari oleh pegawai imigresen berpakaian preman di luar apartmen universiti mereka di New York City pada 8 Mac.
Dia kemudiannya dipindahkan secara senyap ke pusat tahanan LaSalle di Louisiana tanpa pengetahuan awal peguamnya, yang terpaksa memfailkan dua cabaran mahkamah, satu terhadap penahanan dan satu lagi terhadap pengusiran.
Walaupun Mahmoud tidak pernah dituduh atas sebarang jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan pada 9 Mac mendakwa dia sebagai seorang “antiYahudi” dan mengaitkan tindakannya dengan kumpulan Hamas, yang disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh AS.










