WASHINGTON: Seorang guru warganegara Amerika Syarikat (AS), Marc Fogel dibebaskan oleh pihak berkuasa Russia selepas tiga tahun setengah dipenjara, menurut pengumuman Rumah Putih, semalam.
Fogel, 63, ditahan di Russia sejak Ogos 2021 selepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana memiliki kira-kira 17 gram ganja perubatan.
Pembebasan Fogel dicapai selepas Presiden AS, Donald Trump bersama utusan khas, Steve Witkoff merundingkan satu pertukaran, kata Penasihat Keselamatan Negara Trump, Michael Waltz dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, Waltz tidak memperincikan bentuk pertukaran tersebut, tetapi menyifatkannya sebagai niat baik pihak Rusia dan merupakan petunjuk AS sedang bergerak ke arah menamatkan perang yang kejam dan dahsyat di Ukraine.
“Menjelang malam ini, Marc Fogel akan berada di tanah air dan bertemu semula dengan keluarga serta orang tersayang hasil kepemimpinan Presiden Trump,” kata Waltz.
Dalam satu kenyataan, keluarga Fogel meluahkan rasa bersyukur, lega dan terharu dengan pembebasan tersebut.
Ketika ditanya sama ada AS membuat sebarang pengorbanan untuk pembebasan Fogel, Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara tersebut.
“Kami dilayan dengan baik oleh Russia, sebenarnya.
“Saya berharap ini menjadi permulaan kepada satu hubungan yang boleh membawa kepada penamatan perang (di Ukraine) dan berjuta-juta nyawa tidak lagi terkorban,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Tiada komen segera diberikan oleh Moscow berhubung pembebasan Fogel.
Sebelum ini, Washington pernah berunding bagi membebaskan rakyat Amerika dengan menukar tahanan warga Rusia, termasuk wartawan Wall Street Journal, Evan Gershkovich yang dibebaskan daripada tahanan Rusia pada Ogos lalu, bersama dua lagi warga AS. – AGENSI










