MANAMA: Syria sedang mengadakan perbincangan bagi menilai kemungkinan menyertai pakatan pertahanan Makkah yang dianggotai Türkiye, Arab Saudi dan Pakistan.
Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shaibani berkata demikian ketika berucap pada Dialog Manama 2026, sambil menegaskan Damsyik merupakan sebahagian penting dalam keselamatan serantau dan akan menyokong sebarang kerangka kerjasama bagi melindungi kestabilan rantau itu.
Beliau berkata, rantau berkenaan kini lebih memerlukan sistem pencegahan dan pertahanan bersama berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai bentuk atau tempoh perbincangan berkenaan.
“Syria kini telah meninggalkan kancah konflik untuk mengambil tempatnya di meja perbincangan dalam menentukan hala tuju keselamatan serantau.
“Syria berdiri seiring dengan negara-negara Teluk dan Jordan dalam menghadapi sebarang pencerobohan”, selain mengutuk serangan peluru berpandu dan dron.
“Kestabilan Teluk merupakan sebahagian daripada keselamatan Syria,” katanya.
Türkiye, Arab Saudi dan Pakistanmenandatangani pakatan berkenaan di Makkah pada Ogos lalu, dengan sebarang serangan terhadap salah sebuah negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota.
Menteri Luar Türkiye, Hakan Fidan sebelum ini berkata, perjanjian itu terbuka kepada penyertaan negara lain. Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Türkiye baru-baru ini turut meluluskan rang undang-undang bagi meratifikasi pakatan berkenaan.
Arab Saudi, yang merupakan antara penyokong utama kerajaan Syria, sedang menggerakkan sokongan bagi menghadapi peningkatan serangan Houthi, termasuk serangan yang menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh ditutup selama dua minggu bulan ini.
Perancis dan United Kingdom (UK) turut menghantar pasukan bagi membantu melindungi Arab Saudi.
Asaad Hassan turut menegaskan semula sokongan Syria terhadap kerajaan Yaman dalam usaha memulihkan kedaulatan negara itu.-AGENSI











