Polis Pakistan guna jaring ala Kyiv sekat dron 

Polis Pakistan guna jaring ala Kyiv sekat dron 

ANGGOTA pasukan keselamatan memasang jaring penghadang bagi mengelak serangan dron di balai polis di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan.-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARA: Jaring putih dipasang tinggi merentasi bahagian hadapan bangunan bata di kawasan sempadan utara Pakistan, taktik yang dipinjam daripada medan perang Ukraine bagi melindungi polis daripada ancaman dron.

Diperbuat daripada benang yang sangat tahan lasak, jaring khas  itu boleh menggagalkan serangan dengan menjerat dron musuh atau menahan bahan letupan seperti mortar dan bom tangan di udara, jauh di atas kawasan premis, supaya kerosakan dapat dikurangkan sekiranya ia meletup.

“Dron ini mudah didapati di pasaran dan dengan sedikit pengubahsuaian, kit untuk menjatuhkan bahan letupan boleh dipasang. Jadi, ia agak mudah dan semua orang boleh mendapatkannya.

“Kami mula memasang jaring ini untuk melindungi anggota kami daripada serangan udara dan mengurangkan risiko serangan menggunakan dron,” kata pegawai polis Daerah Khyber, Waqar Ahmad.

Khyber Pakhtunkhwa kini berdepan pemberontakan yang semakin meningkat oleh Tehreek-i-Taliban Pakistan (TTP), dengan puluhan anggota polis terbunuh dalam serangan terhadap pos pemeriksaan tahun ini.

Polis kini berusaha mengejar kemampuan kumpulan militan itu, yang menggunakan dron secara meluas dalam serangan sejak 2024.

Dipasang pada bahagian hadapan beberapa premis polis di wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan, jaring itu menjadi barisan pertahanan baharu selain blok konkrit dan halangan lain.

Anggota polis yang ditempatkan di sebuah pos pemeriksaan di tepi jalan di wilayah itu, Muhammad Aamir berkata, jaring berkenaan bersama tembok sempadan banyak mengurangkan risiko serangan dron dan lontaran bom tangan ke arah bangunan.

“Insiden ini menyebabkan kerosakan ketara dan mengakibatkan korban dalam kalangan polis serta anggota pasukan keselamatan lain. Bagaimanapun, keadaan kini bertambah baik,” kata lelaki berusia 38 tahun itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×