PBB bimbang angka kematian orang awam meningkat di Gaza - Utusan Malaysia

PBB bimbang angka kematian orang awam meningkat di Gaza

TENTERA Israel masih meneruskan serangan udara di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimba­ngan mendalam berhubung peningkatan angka kematian orang awam di Semenanjung Gaza.

Badan dunia itu turut, ‘me­nunding’ kepada serangan udara dan operasi ketenteraan Israel yang berterusan dan berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata di wilayah ber­kenaan.

“Kami amat bimbang terhadap kesan ke atas orang awam berikutan serangan udara Israel yang berterusan,” kata Jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada pemberita semasa satu sesi taklimat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dujarric merujuk laporan terbaharu yang mendedahkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki adalah antara yang terkorban, manakala satu serangan lain te­lah merosakkan kompleks Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah.

Sumber perubatan mengesahkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan seorang pemuda maut baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku apabila tentera Israel membedil sekumpulan penduduk awam. Dujarric menegaskan bahawa orang awam dan infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi.

Selain keganasan secara langsung, PBB turut memberi amaran bahawa usaha untuk membuat persiapan menghadapi musim hujan yang kian menghampiri kini terhalang.

Pihak berkuasa tempatan te­lah memetakan risiko banjir di ratusan kawasan di seluruh Gaza.

Dujarric menambah bahawa kekurangan minyak enjin, jentera berat dan alat ganti turut menjejaskan usaha kemanusiaan di lapangan. 

Perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa di Semenanjung Gaza pada Oktober tahun lalu yang bertujuan untuk menghentikan pertempuran selama lebih setahun an­tara Israel dan Hamas.

Sejak itu, pencerobohan dan pelanggaran gencatan senjata secara berulang oleh pihak Israel telah mengorbankan lebih 1,000 penduduk Palestin di seluruh wilayah berkenaan dan mencederakan lebih 4,300 yang lain, menurut angka yang dipetik oleh PBB. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini