Parti Putin dijangka kekal berkuasa, pilihan raya Russia diganggu serangan siber

Parti Putin dijangka kekal berkuasa, pilihan raya Russia diganggu serangan siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Parti pemerintah Vladimir Putin, United Russia memenangi majoriti besar dalam pilihan raya Parlimen negara itu, yang turut dicemari serangan siber dan bedilan bertubi-tubi dron Ukraine.

Menurut keputusan disiarkan media negara pada awal Isnin, pilihan raya yang diadakan bagi memilih wakil untuk semua kerusi di dewan rendah Duma Negara, merupakan yang pertama sejak Moscow melancarkan pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine pada tahun 2022.

Tiada parti yang menentang perang dibenarkan bertanding, malah Mahkamah Agung Russia menggugurkan parti anti-perang, Yabloko daripada senarai calon beberapa minggu sebelum pengundian bermula.

Pengundian turut diadakan di wilayah Ukraine yang diduduki dan dirampas Russia.

Menurut keputusan yang dilaporkan oleh agensi berita Russia selepas lebih 71 peratus undian dikira, United Russia memperoleh 57.5 peratus undi.

Parti Komunis dan parti nasionalis LDPR masing-masing ketinggalan dengan perolehan undi sebanyak 14 peratus dan 8.7 peratus.

Parti pemerintah itu berada di landasan untuk mengekalkan majoriti dua pertiga daripada 450 kerusi di Duma Negara, sekali gus membolehkannya meminda Perlembagaan, menurut unjuran agensi negara TASS.

Ukraine melancarkan serangan gelombang dron ke arah Moscow dan kawasan sekitarnya pada hari terakhir pengundian Ahad lalu, menyebabkan dua orang terkorban dan sebuah kilang penapisan minyak terbakar, menurut kenyataan pegawai.

Russia berikrar untuk memperhebat serangan terhadap Kyiv sebagai tindak balas, dengan kementerian pertahanan menuduh Ukraine cuba mengganggu kehendak demokratik rakyat Russia.

Menurut Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, serangan Ukraine itu merupakan yang terbesar ke atas Moscow sejak bermulanya perang dan melibatkan kira-kira 1,600 dron, dengan 450 daripadanya disasarkan terus ke ibu negara itu.

Imej-imej menunjukkan lubang besar pada sebuah bangunan pangsapuri bertingkat di pinggir ibu negara, manakala satu lagi imej memaparkan kepulan asap hitam yang dipercayai berpunca daripada sebuah kilang penapisan minyak.

Kebakaran yang berpunca daripada nahas dron yang melanggar sebuah bangunan 21 tingkat turut menyebabkan 400 orang dipindahkan, tambah Vorobyov.

Ketika pengundian memasuki hari terakhir, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Russia, Ella Pamfilova menyatakan terdapat gelombang serangan siber yang menyasarkan infrastruktur pilihan raya, namun tidak menyatakan pihak mana yang bertanggungjawab.

“Serangan itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang sangat profesional dan tersusun rapi dengan menggunakan alat kecerdasan buatan (AI).

“Sejak kebelakangan ini, lebih daripada 1,000 gelombang serangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS) direkodkan terhadap infrastruktur di Russia yang terlibat secara khusus dalam proses pilihan raya,” katanya.

Serangan DDoS melibatkan tindakan membanjiri sesuatu sistem dengan trafik internet sehingga sistem tersebut tidak dapat berfungsi seperti biasa.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×