NEW YORK: Seorang lelaki di New York bernasib baik apabila terselamat selepas disambar petir sewaktu berjalan menuju ke kereta bagi menghadiri janji temu pemeriksaan gigi semasa ribut petir.
Thomas Fahmy disambar petir pada 27 Ogos lalu apabila beliau berjalan menuju ke kenderaannya yang diparkir di luar kediamannya di Staten Island.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan Fahmy sedang berjalan sambil memegang payung dalam keadaan hujan lebat.
Semasa beliau berjalan melintasi pagar putih rumahnya, petir menyambar tepat ke arahnya.
Dalam tempoh sesaat, Fahmy terus rebah ke tanah.
Bagaimanapun, beliau terselamat secara ajaib dalam kejadian berkenaan dan dilihat berjalan terhincut-hincut kembali ke rumahnya untuk meminta bantuan.
Beliau kedengaran mengulang perkataan ‘Oh Tuhan!’ dalam keadaan tercungap-cungap.
Menerusi wawancara bersama media tempatan, Fahmy menceritakan detik berkenaan:
“Ia satu sensasi terbakar dan sangat tegang. Rasa mencucuk-cucuk, kebas dan kesakitan serta sakit yang teruk pada kedua-dua belah kaki saya.
Jirannya, Stephanie Homan yang datang memberikan bantuan memberitahu: “Saya terdengar suara meminta tolong, jadi saya bergegas ke pintu dan melihat dia sudah terbaring di atas tanah.”
Fahmy tidak mengalami sebarang kesan terbakar yang ketara atau kecederaan teruk tetapi beliau telah dibawa ke Hospital Universiti Northwell Staten Island berhampiran untuk pemeriksaan.
Beliau ditahan di wad selama semalaman bagi pemantauan doktor sebelum dibenarkan keluar pada keesokan harinya.
Fahmy bertugas di pejabat Ahli Kongres AS, Nicole Malliotakis di Staten Island.
Malliotakis menerusi kenyataan bagi mengulas keadaan Fahmy: “Salah seorang ahli staf kongres saya selamat dan berada dalam keadaan baik selepas disambar petir minggu lalu.” – AGENSI










