BRUSSELS: Bandar-bandar di Eropah akan diberi kelonggaran untuk mengehadkan sewaan jangka pendek seperti Airbnb di bawah rancangan Kesatuan Eropah (EU), dalam usaha mengurangkan kos perumahan di kawasan tumpuan pelancong.
Suruhanjaya Eropah dijangka menetapkan syarat yang membolehkan pihak berkuasa tempatan mengehadkan sewaan jangka pendek, sebagai sebahagian daripada pakej perumahan mampu milik yang bertujuan menangani isu yang disifatkan Ketua EU, Ursula von der Leyen sebagai krisis sosial.
Kemampuan memiliki atau menyewa rumah menjadi isu yang semakin membimbangkan di seluruh blok 27 negara EU dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Harga hartanah meningkat 60 peratus, manakala kadar sewa melonjak 20 peratus dalam tempoh sedekad lalu, menyebabkan berjuta-juta penduduk bergelut mendapatkan kediaman yang mampu mereka miliki atau sewa.
Walaupun sangat popular dalam kalangan pelancong, penginapan jangka pendek di banyak destinasi pelancongan popular didakwa menyebabkan semakin sedikit apartment tersedia untuk disewa penduduk tempatan bagi tempoh panjang, selain menyumbang kepada kenaikan harga.
Dari New York hingga Tokyo dan Barcelona, semakin banyak bandar di seluruh dunia mengenakan atau mempertimbangkan sekatan terhadap penginapan pelancong dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, langkah sekatan itu sering dicabar di mahkamah oleh penyedia perkhidmatan sewaan dan pengusaha sektor pelancongan, sekali gus menimbulkan ketidakpastian dari segi undang-undang.
Akta Perumahan Mampu Milik yang dicadangkan Suruhanjaya Eropah bertujuan memberi perlindungan undang-undang kepada bandar-bandar, selain menjelaskan keadaan yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tanpa melanggar peraturan pasaran tunggal EU.
Bandar dan pihak berkuasa berkaitan akan dibenarkan mengehadkan sewaan percutian serta pembelian hartanah untuk tujuan sewaan jangka pendek di kawasan yang dianggap mengalami tekanan perumahan, menurut draf dokumen yang dilihat AFP.
Dokumen itu menetapkan beberapa parameter yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu kawasan boleh dikategorikan mengalami tekanan perumahan, termasuk nisbah antara harga rumah dengan pendapatan penduduk.-AFP








