TEHERAN: Bulan Sabit Merah Iran berkata, empat orang termasuk seorang kanak-kanak maut manakala lebih 50 lagi cedera selepas serpihan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) mengenai sebuah rumah di Sirik, selatan Iran ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung.
Satu video yang dikongsi akaun kerajaan Iran menunjukkan kemusnahan dan serpihan yang banyak di lokasi yang didakwa sebagai tempat majlis perkahwinan di Sirik selepas serangan AS, dengan kedengaran jeritan orang ramai di latar belakang.
“Berdasarkan serangan peluru berpandu AS, serpihan mengenai sebuah rumah kediaman di bandar Kuhestak, daerah Sirik di wilayah Hormozgan ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung,” kata Bulan Sabit Merah dalam satu hantaran di X.
AS sebelum ini berkata, pihaknya melancarkan serangan terhadap sasaran Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) susulan cubaan serangan terbaharu terhadap kapal komersial di Selat Hormuz dan anggota tentera AS yang ditempatkan di rantau itu.
Bagaimanapun, sasaran sebenar serangan di daerah Sirik masih belum dapat dipastikan.
Pada Selasa, media Iran melaporkan letupan berlaku di beberapa bandar di sepanjang dan timur Selat Hormuz, selain di sebuah lapangan terbang di wilayah Kerman di selatan negara itu.
Laporan lain pula menyebut peluru berpandu membedil kawasan Chabahar dan Konarak serta sebuah lapangan terbang di Jiroft, manakala letupan turut kedengaran di Pulau Qeshm dan Bandar Abbas.
IRGC memberi amaran AS akan menyesali serangan berkenaan, manakala agensi berita Iran melaporkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran AS telah bermula.
IRGC dilaporkan berkata, pihaknya melancarkan bertubi-tubi peluru berpandu balistik ke pangkalan Kor Marin AS di Aqaba, Jordan, sebagai tindak balas terhadap serangan di Sirik.
Angkatan Tentera Jordan berkata, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan akibat serangan Iran itu, menurut rangkaian Al-Mamlaka yang bersekutu dengan kerajaan.
Rangkaian itu turut melaporkan Pusat Keselamatan Negara Jordan memberi amaran kepada penduduk di wilayah Aqaba dan Mafraq mengenai kemungkinan serpihan yang jatuh, namun amaran berkenaan sudah ditamatkan.-AFP/AGENSI











