Rusuhan ragut tiga nyawa, PM Nepal rayu rakyat bertenang - Utusan Malaysia

Rusuhan ragut tiga nyawa, PM Nepal rayu rakyat bertenang

BALENDRA Shah (tengah). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah merayu rakyatnya supaya bertenang selepas pertempuran antara kumpulan penganut Hindu dan Islam di selatan negara itu mencetuskan rusuhan yang mengorbankan tiga nyawa.

Shah, yang sebelum ini dilihat kurang tampil di khalayak ramai sejak dipilih memegang jawatan pada Mac lalu, me­nyampaikan ucapan sulungnya kepada negara, dengan menyeru rakyat menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menghapuskan ancaman ketidakstabilan itu.

Dalam ucapannya, beliau turut berjanji siasatan akan dijalankan secara adil dan telus sepenuhnya.

“Bagi pihak kerajaan, saya dengan ikhlas merayu kepada rakyat, masyarakat sivil, komu­niti agama, semua pemimpin,  parti politik dan media yang bertanggungjawab supaya bersabar, menahan diri serta mengekalkan keamanan, keharmonian, semangat persaudaraan termasuk  perpaduan negara.

“Kerajaan komited untuk membawa sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap insiden ini ke muka pengadilan,” kata Shah dalam ucapan yang disiarkan melalui video.

Keganasan itu bermula lewat Ahad di sebuah kampung di daerah Sunsari di selatan Nepal yang bersempadan dengan India. Ia berlaku selepas tercetus pertengkaran berhubung muzik yang dimainkan dengan kuat dan penggunaan bendera keagamaan ketika satu perarakan penganut Hindu, menurut pegawai.

Menurut pegawai tempatan, Poshan Lamichhane, polis melepaskan tembakan bagi menyu­raikan orang ramai. Dua lelaki maut dalam kejadian itu, menurut jurucakap polis, Abi Narayan Kafle. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×