Pelancaran roket China gagal, meletup di udara

Pelancaran roket China gagal, meletup di udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pelancaran roket China yang membawa satelit komunikasi gagal selepas mengalami masalah anomali penerbangan, dengan rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan roket berkenaan meletup di udara beberapa saat selepas dilancarkan.

Roket Long March 7A itu dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Hainan pada Isnin pukul 8.02 malam (waktu tempatan) bagi membawa satelit komunikasi Zhongxing-4B, namun mengalami masalah ketika dalam penerbangan. Punca kegagalan masih disiasat pihak berkuasa.

Penyiar berpangkalan di Singapura, Channel NewsAsia dalam satu hantaran di Instagram melaporkan roket berkenaan meletup dan memuat naik rakaman orang ramai yang terpinga-pinga menyaksikan bola api di langit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Satu video yang dimuat naik beberapa jam selepas pelancaran oleh akaun media sosial yang dikesan berada di Hainan menunjukkan roket berkenaan meletup dan terbakar kira-kira 85 saat selepas dilancarkan, sebelum meninggalkan kepulan asap kelabu dan serpihan yang jatuh ke tanah.

China berjaya mendaratkan roket boleh guna semula buat kali pertama pada Julai, menurut agensi angkasa lepas negara itu, sekali gus dianggap sebagai langkah penting dalam cita-cita angkasa China dan usaha mengurangkan kos pelancaran.

China menyasarkan untuk menghantar angkasawan ke bulan sebelum 2030, dalam perlumbaan yang turut disertai Amerika Syarikat (AS) menerusi program Artemis.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk ketika mengulas hantaran mengenai kegagalan pelancaran pada Isnin di platform X berkata, roket memang sangat sukar untuk dibangunkan.

“Saya harap mereka dapat pulih dengan cepat,” tambahnya.

Pelancaran sulung roket Long March 7A dari tapak Wenchang pada 2020 turut gagal selepas berlaku kerosakan, menurut laporan Xinhua pada Mac tahun berkenaan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN