LONDON: Kereta sport ikonik Honda NSX milik mendiang legenda Formula Satu (F1), Ayrton Senna bakal dilelong menerusi rumah lelongan RM Sotheby’s di The Peninsula London pada 31 Oktober ini.
Jentera keluaran tahun 1991 yang dipandu sendiri oleh juara dunia tiga kali itu dijangka mampu meraih harga bidaan antara £500,000 (RM2.75 juta) hingga £800,000 (RM4.4 juta).
Honda NSX berkenaan dihadiahkan khas oleh Honda Automobil de Portugal untuk kegunaan peribadi Senna sepanjang beliau berada di Eropah, khususnya ketika menetap di kediamannya di Quinta do Lago.
Berbeza daripada dua lagi Honda NSX milik Senna yang berwarna hitam, jentera dengan nombor chasis T000233 ini tampil dengan warna Formula Red, bumbung hitam kontras, dan kemasan dalaman kulit berwarna hitam.
Jentera ini mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana pernah dipandu Senna ke Grand Prix Portugal 1991 di Estoril.
Kereta itu juga muncul secara eksklusif dalam dokumentari popular tahun 1992, Ayrton Senna: Racing Is in My Blood.
Dari segi teknikal, Honda NSX merupakan model pengeluaran besar-besaran pertama di dunia yang menggunakan struktur aluminium.
Inovasi itu mengurangkan berat kenderaan sehingga 30 peratus dan membolehkan putaran enjin ditingkatkan sehingga 8,000 rpm.
Selepas pemergian tragis Senna di Litar Imola, Itali pada 1994, rekod pendaftaran menunjukkan kereta sukan berkenaan beberapa kali bertukar pemilik di Portugal.
Kereta itu kemudian dibeli oleh pemilik dari United Kingdom, Robert McFagan, pada tahun 2013. – AGENSI











