BANGKOK: Kapal pengangkut pesawat tentera laut Amerika Syarikat (AS), USS Abraham Lincoln dijadualkan berlabuh di Thailand minggu depan selepas menyempurnakan tempoh penugasan yang berpanjangan di kawasan perairan Asia Barat.
Kapal USS Abraham Lincoln yang mula berlepas dari Asia Barat pada Sabtu lalu dilaporkan dibelenggu dengan pelbagai isu kesihatan mental serta keadaan persekitaran yang mengecewakan di atasnya.
Ia masih belum berlabuh di mana-mana pelabuhan selepas mengharungi tempoh berlayar melebihi 200 hari di lautan.
Kira-kira 5,000 anggota tentera laut dan marin di atas kapal berkenaan dijadualkan mendarat di Thailand untuk mendapatkan rehat serta pemulihan tanpa sebarang jadual latihan ketenteraan yang dirancang sepanjang persinggahan tersebut.
Pihak Tentera Laut Thailand menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan bahawa persinggahan berkenaan merupakan lawatan pelabuhan rutin yang bertujuan memberi peluang kepada semua anggota untuk berehat dan memulihkan tenaga, di samping menerima sokongan bantuan logistik.
Isu berkaitan keadaan dan kebajikan anggota di atas kapal USS Abraham Lincoln menjadi perhatian media awal bulan ini.
Perhatian media berlaku selepas ahli keluarga anggota menyuarakan kebimbangan mengenai kemerosotan kemudahan dan tahap kehidupan di atas kapal pengangkut pesawat berkenaan.
Kemuncak desakan dan kemarahan awam tercetus selepas laporan akhbar Navy Times, Stars and Stripes mendedahkan kejadian dua cubaan bunuh diri di atas kapal tersebut, selain kemerosotan moral anggota secara berterusan susulan tempoh penugasan yang terlalu lama.
Secara kebiasaannya, tempoh penugasan kapal tentera laut AS mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.
Bagaimanapun, pelayaran berterusan USS Abraham Lincoln yang melebihi 200 hari berturut-turut di laut telah mencatatkan rekod moden terpanjang bagi operasi penugasan tanpa henti di lautan. – AGENSI











