Gempa bumi 6.4 magnitud di Sumatera Utara tidak berisiko tsunami

Gempa bumi 6.4 magnitud di Sumatera Utara tidak berisiko tsunami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN: Gempa bumi tektonik 6.4 magnitud melanda Simalungun, Sumatera Utara pada Sabtu petang, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia.

Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Wijayanto berkata, gempa itu berlaku pada 5.54.52 petang (waktu tempatan) pada kedalaman 168 kilometer.

“Analisis BMKG menunjukkan gempa bumi itu mempunyai parameter terkini dengan magnitud 6.4 pada kedalaman 168 kilometer,” katanya dalam kenyataan yang diterima di Medan pada Sabtu malam.

Beliau berkata, pusat gempa dikesan pada koordinat 2.91 darjah utara dan 98.93 darjah timur, kira-kira 11 kilometer tenggara Simalungun.

Berdasarkan data, gempa itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

“Mengambil kira lokasi pusat gempa dan kedalaman hiposenternya, BMKG mengklasifikasikan gempa berkenaan sebagai gempa bumi sederhana yang berpunca daripada aktiviti subduksi plat tektonik.

“Analisis mekanisme sumber pula menunjukkan gempa itu berpunca daripada pergerakan sesar mendatar-menurun,” katanya kepada Antara News.

Berdasarkan anggaran peta tahap gegaran, gempa dirasai di Tebing Tinggi, Kabanjahe dan Lima Puluh, Simalungun, Pematangsiantar dan Pangururan.

Sehingga 6.16 petang (waktu tempatan), pemantauan BMKG tidak menunjukkan sebarang aktiviti gempa bumi susulan.

BMKG akan terus memantau aktiviti gempa susulan serta menyalurkan maklumat terkini kepada pihak berkepentingan dan orang ramai.

Orang ramai diminta bertenang, tidak mempercayai maklumat yang tidak dapat disahkan serta menjauhi bangunan yang retak atau mengalami kerosakan akibat gempa bumi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×