China desak AS tarik balik larangan robot - Utusan Malaysia

China desak AS tarik balik larangan robot

GAMBAR fail robot humanoid. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China pada Kha­mis mendesak Amerika Syarikat (AS) supaya menarik balik larangan kemasukan peranti robo­tik canggih buatan luar negara ke pasaran Amerika.

Beijing turut  memberi amaran akan mengenakan tindakan balas susulan larangan tersebut.

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS pada Selasa memasukkan peranti robotik canggih seperti robot humanoid dan berkaki empat serta penyongsang kuasa ke dalam Senarai Terlindung.

Senarai itu mengandu­ngi butiran  peralatan yang dianggap terlalu berisiko untuk diluluskan penjualannya di AS. 

Majoriti produk terbabit dikeluarkan oleh China.

“Sekiranya AS terus berdegil mengikut te­lunjuk sendiri, China akan mengambil tindakan balas yang tegas bagi mempertahankan hak dan kepentingan sahnya,” kata jurucakap Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan yang dipetik portal berita Global Times.

Jurucakap itu menambah, langkah-langkah diambil Washington itu pada hakikatnya merupakan layanan diskriminasi dan penindasan yang disasarkan secara khusus kepada syarikat serta produk keluaran China.

Tindakan itu, katanya, menjejaskan kepenti­ngan perdagangan China yang sah. Ia juga mero­sakkan kestabilan hubu­ngan ekonomi dan perdagangan China-AS selain mengganggu kelancaran rantai bekalan serta industri global.

“Pihak AS sengaja memperluas konsep kese­lamatan nasional secara melampau, mengabaikan desakan padu daripada sektor industri di kedua-dua negara dan menggunakan kuasa pentadbiran untuk campur tangan secara sengaja dalam urus niaga komersial termasuk perdagangan normal antara syarikat,” jelas kenyataan itu lagi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×