LONDON: Ribuan wanita mungkin tidak perlu lagi mengharungi prosedur pemeriksaan klinikal yang menyakitkan bagi mengesan simptom barah, hasil inovasi ujian darah berkuasa kecerdasan buatan (AI) terbaharu yang kini sedang diuji oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain.
Di England, dianggarkan sekitar 90,000 wanita pascamenopause dirujuk oleh doktor perubatan am setiap tahun untuk pemeriksaan lanjut kanser rahim berikutan masalah pendarahan yang serius.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 10,000 wanita disahkan menghidap penyakit berkenaan yang juga dikenali sebagai kanser uterus atau endometrium dengan kadar kematian mencecah 2,700 kes setahun.
Penggunaan ujian darah baharu yang dinamakan PinPoint mampu menyelamatkan satu perlima daripada kumpulan wanita terbabit iaitu kira-kira 18,000 orang setahun daripada perlu menjalani ujian imbasan ultrabunyi transvagina.
Prosedur mengukur ketebalan dinding rahim itu sering digambarkan sebagai amat tidak selesa dan menyakitkan oleh kebanyakan pesakit.
Di bawah sistem sedia ada NHS bagi mendiagnosis kanser sistem reproduktif, kesemua wanita yang dirujuk wajib menjalani pemeriksaan pelvis termasuk imbasan ultrabunyi, biarpun 20 peratus daripada mereka akhirnya disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
Namun, ujian darah inovatif mula diperkenalkan di beberapa buah hospital NHS selepas fasa pemeriksaan klinikal melibatkan 16,481 pesakit selesai dijalankan. Kesemua pesakit ini dirujuk ke 170 buah klinik di Yorkshire bagi mengesan sembilan jenis kanser yang berbeza, termasuk 3,313 wanita yang berdepan masalah pendarahan luar biasa.
Keputusan ujian klinikal tersebut menunjukkan penanda aras yang sangat positif apabila ujian darah berasaskan AI itu mencatatkan kadar ketepatan sehingga 99 peratus.
Ia bukan sahaja berjaya mengesan kehadiran kanser ginekologi dalam kalangan wanita terbabit, malah mampu menolak keraguan tentang jangkitan dengan lebih berkesan berbanding kaedah konvensional.
Susulan penemuan memberangsangkan itu, Hospital Pengajar NHS Mid Yorkshire merancang untuk mula melaksanakan ujian berkenaan bagi mengesan enam jenis kanser ginekologi serta kanser bahagian atas gastrointestinal.
Langkah serupa turut dilaksanakan Hospital Pengajar NHS Leeds, khusus bagi kes kanser ginekologi. -AGENSI










