Tanah runtuh di Filipina ragut lima nyawa ketika Taufan Bavi hampiri Taiwan

Tanah runtuh di Filipina ragut lima nyawa ketika Taufan Bavi hampiri Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Lima orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Filipina, manakala ratusan penduduk di Taiwan dipindahkan ketika Taufan Bavi, yang disifatkan sebagai taufan terbesar melanda rantau itu dalam tempoh beberapa dekad, semakin menghampiri pada Jumaat.

Taufan Bavi dijangka membadai bahagian utara dan timur Taiwan serta pulau-pulau terpencil di barat daya Jepun pada Jumaat dan Sabtu sebelum melanda China, yang minggu ini turut dilanda ribut maut.

Tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat akibat pengaruh Taufan Bavi mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Pulau Mindanao, selatan Filipina, manakala enam lagi masih hilang, menurut polis.

Penduduk di bandar pelabuhan Keelung di Taiwan, yang dijangka antara kawasan paling teruk terjejas, membuat persiapan awal dengan membeli bekalan makanan, menampal tingkap dan menyusun guni pasir di hadapan premis masing-masing susulan amaran pihak berkuasa.

“Mereka kata taufan ini akan sangat besar. Sudah tentu kami takut. Kami sudah membeli mi segera, roti dan bekalan lain. Apabila angin dan hujan semakin kuat, kami akan menutup kedai,” kata pemilik kedai runcit, Chang Shih-huo, 76.

Selepas membadai Guam dan Kepulauan Mariana Utara sebagai taufan super pada Isnin, Bavi diturunkan taraf kepada taufan ketika bergerak merentasi Lautan Pasifik.

Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), Taufan Bavi membawa angin berterusan 162 kilometer (km) sejam dengan tiupan mencecah 198 km sejam pada Jumaat, lebih perlahan berbanding hari sebelumnya.

Peramal CWA, Wang Ping-hsiang berkata, taufan itu dijangka terus melemah berikutan keadaan persekitaran yang kurang sesuai.

“Impak terbesar dijangka dirasai di Taipei, New Taipei, Keelung dan Yilan, manakala hujan paling lebat dijangka melanda kawasan pergunungan di tengah dan utara Taiwan,” katanya kepada AFP.

Angin kencang Bavi yang mencecah 380 kilometer menjadikannya taufan terbesar melanda Taiwan dalam tempoh lebih 30 tahun.

Banyak sekolah dan premis perniagaan di utara serta timur Taiwan, termasuk ibu negara Taipei, ditutup pada Jumaat, manakala ratusan penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan.

Taufan Bavi dijangka membawa taburan hujan sehingga satu meter, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.

Lebih 1,000 penduduk telah dipindahkan, kebanyakannya di daerah pergunungan Hualien di timur Taiwan, ketika pihak berkuasa memantau dua empangan semula jadi yang terbentuk akibat runtuhan tanah.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te menggesa penduduk di kawasan yang dijangka terjejas supaya terus berwaspada.

Lebih 20,000 anggota tentera bersama jentera, peralatan dan kenderaan diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kecemasan.

“Kami bimbang. Ini kali pertama kami berdepan taufan sebesar ini sejak membuka kedai,” kata Samuel Fu, 20, yang bekerja di sebuah kedai mi di daerah pesisir Bali, New Taipei City.

Di Kepulauan Sakashima di Jepun, beberapa sekolah dan pejabat ditutup apabila taufan menghampiri, dengan pihak peramal memberi amaran mengenai ombak besar, ribut dan tanah runtuh.

“Kami menutup pelbagai barangan dengan jaring supaya tidak diterbangkan angin. Ribut kini semakin kuat,” kata pekerja hotel di Pulau Miyako, Masaru Nakamura.

Di Okinawa, pengusaha sukan air dan barbeku di bandar Naha, Koki Ohama berkata, perniagaannya terjejas apabila semua tempahan hujung minggu dibatalkan.

“Kami sepatutnya penuh dengan tempahan hujung minggu ini, tetapi semuanya dibatalkan. Memang sukar,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN