Serangan balas Amerika-Iran makin sengit di Asia Barat - Utusan Malaysia

Serangan balas Amerika-Iran makin sengit di Asia Barat

SEBUAH jambatan rosak teruk akibat serangan udara AS di laluan yang menghubungkan Roudan dengan Bandar Abbas, selatan Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran saling berbalas serangan sengit semalam selepas dua askarnya maut  dan seorang lagi hilang akibat satu siri peluru berpandu dan dron Teheran menyerang Jordan pada Jumaat lalu.

Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, kedua-dua anggota tentera terbunuh itu ketika tentera AS dan pasukan sekutunya mempertahankan diri daripada serangan peluru berpandu balistik serta dron Iran.

Empat yang lain telah dipindahkan ke hospital di Jordan, menurut CENTCOM dalam satu hantaran di platform X.

Kematian itu menjadikan jumlah anggota tentera Amerika  yang disahkan terbunuh sejak AS-Israel menyerang Iran pada 28 Februari meningkat kepada 16 orang.

Perjanjian awal yang bertujuan menamatkan perang itu gagal selepas Presiden AS, Donald Trump pada 10 Julai lalu mengisytiharkan gencatan senjata antara Washington dan Teheran sudah berakhir. 

Trump mendakwa  bahawa gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 8 April yang menamatkan peperangan berskala penuh itu telah dicemari insiden konflik berintensiti rendah yang berulang. 

Namun, konflik itu bertukar menjadi sengit apabila tentera AS berkata, ia melancarkan serangan terhadap Iran untuk malam kelapan berturut-turut, termasuk menyasarkan unit yang didakwa bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan dua askarnya di Jordan.

Gelombang keganasan terbaharu tercetus susulan serangan Iran terhadap kapal-kapal komersial di Selat Hormuz.

Tentera Iran mengumumkan pada Ahad bahawa pihaknya telah menyasarkan dua pangkalan tentera AS di Kuwait menggunakan dron, dengan serangan mengenai depoh simpanan peluru di Kem Udairi dan sistem radar Patriot serta radar pemantauan udara di Pangkalan Udara Ali Al Salem.

Tentera Kuwait kemudian memaklumkan bahawa pihaknya sedang bertindak balas terhadap satu lagi gelombang serangan dron dan peluru berpandu Iran, manakala siren amaran turut dibunyikan di Bahrain.

Agensi berita Iran, Fars dan Tasnim, pada masa sama melaporkan serangan AS di Sirik, sebuah pelabuhan di Selat Hormuz, selatan Iran.

Kementerian Kesihatan Iran berkata, seramai 50 orang terbunuh manakala lebih 500 lagi cedera sejak pertempuran kembali memuncak

Iran pernah menutup selat itu pada selepas perang tercetus pada 28 Februari lalu sebelum dibuka tetapi ditutup kemudian kerana ketegangan hubungan selepas rundingan secara tidak langsung dengan Washington.

Washington turut mengenakan semula sekatan maritim terhadap pelabuhan Iran pada minggu lalu. Ia berlaku selepas Teheran memberi amaran bahawa sebarang pelayaran merentasi Selat Hormuz tanpa kebenaran tidak akan dibenarkan dengan menegaskan mana-mana kapal yang ingkar akan dikenakan tindakan.

Iran turut mendakwa bekalan air minuman ke beberapa kampung di selatan negara itu terputus selepas AS didakwa menyerang kemudahan bekalan elektrik dan loji penyahgaraman air di perkampungan Bonji. 

Komander tertinggi tentera pusat Iran, Ali Abdollahi turut memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan lanjut oleh AS akan dibalas dengan tindak balas yang tegas dan dahsyat, menurut kenyataan yang disiarkan oleh televisyen negara pada Ahad.

Harapan untuk mencapai penyelesaian politik bagi menamatkan perang itu semakin pudar, meskipun pihak pengantara telah berusaha membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN