Pusat beli-belah Aeon Jepun diranap gempa kali kedua

Pusat beli-belah Aeon Jepun diranap gempa kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pusat beli-belah Aeon yang musnah dalam satu letupan susulan gempa bumi di selatan Jepun pada Selasa, baru sahaja dibuka semula bulan lalu sebagai kompleks membeli-belah dan hiburan baharu yang dinaik taraf bagi memperingati kebangkitannya daripada gempa bumi maut sedekad lalu.

Pusat beli-belah berkenaan pernah mengalami kerosakan teruk dalam kejadian gempa bumi Kumamoto berukuran 7.1 pada skala Richter pada April 2016 hingga memaksa premis itu ditutup selama beberapa bulan dan mengambil masa yang lama untuk dibina semula.

Menerusi pembangunan dan perluasan semula pada 2017, kompleks itu menonjolkan ciri-ciri struktur siling yang diperkukuh daripada risiko seismik serta peningkatan tahap keselamatan dan ketahanan secara keseluruhan.

Susulan pembukaan kilang pengeluar cip terkemuka Taiwan, TSMC di Kumamoto pada 2024, jumlah pengunjung ke pusat beli-belah Aeon tersebut melonjak melebihi lapan juta orang setahun.

Ia menempatkan kira-kira 200 cawangan kedai dan premis perniagaan, sebuah pawagam serta kawasan tempat letak kereta yang mampu memuatkan sehingga 5,000 buah kenderaan.

Namun pada Selasa, sebahagian besar tapak kompleks yang luas itu runtuh hingga meninggalkan rangka dan runtuhan batu.

Ramai dikhuatiri terkorban atau terperangkap di dalam bangunan, menurut penyiar rasmi NHK dan saluran televisyen Jepun yang lain.

Pihak polis Kumamoto memaklumkan risiko gempa susulan menyukarkan usaha mencari dan menyelamat dijalankan di dalam struktur bangunan yang terjejas teruk itu. Pusat gempa bumi berkenaan dilaporkan hanya terletak beberapa batu dari lokasi kejadian.

Apabila gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter melanda pada lewat petang Selasa, para pekerja pusat beli-belah bertindak pantas membantu memindahkan pengunjung keluar dari bangunan, kata jurucakap Aeon.

Pihak berkuasa wilayah mengesahkan kira-kira 200 orang berjaya diiring keluar ke kawasan selamat. Kira-kira sejam kemudian, satu letupan kuat berlaku hingga merobohkan dinding dan mendedahkan struktur dalaman bangunan.

Saksi di tempat kejadian turut melaporkan bau gas yang kuat di sekitar kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN