CHICAGO: Sekumpulan penyelidik di Northwestern University, Amerika Syarikat (AS) mencipta sebuah dron baharu yang berputar begitu pantas sehingga mampu ‘hilang’ daripada pandangan mata manusia, sekali gus berpotensi mengubah landskap peperangan moden.
Dron yang dikenali sebagai Phantom Twist itu mampu berputar sehingga 25 kali sesaat, iaitu pada kelajuan yang terlalu tinggi untuk dikesan dengan jelas oleh mata manusia dan 10 kali lebih sukar dilihat berbanding dron empat kipas jenis quadcopter konvensional.
Ketua penyelidik, Michael Rubenstein menggambarkan rupa dron itu sebagai ‘bayangan samar’ yang mampu menyatu dengan latar di sekelilingnya.
Bagi menghasilkan reka bentuk unik itu, pasukan penyelidik terlebih dahulu menggunakan komputer untuk menghasilkan kira-kira 20,000 konfigurasi berbeza.
Rubenstein berkata, mereka kemudian memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menguji pelbagai susunan komponen utama sebelum menyenarai pendek reka bentuk terbaik.
Menurut beliau, keseluruhan proses reka bentuk dilakukan secara automatik.
Pasukan penyelidik Northwestern University membentangkan hasil kajian itu pada 16 Julai sempena persidangan ‘Robotics: Science and Systems 2026 di Sydney, Australia.
Berbeza dengan dron biasa yang menggunakan empat rotor, Phantom Twist hanya dilengkapi satu motor dan satu kipas yang berputar pada satu arah.
“Pada dron quadcopter biasa, hanya kipas yang berputar manakala badan dron kekal pegun, menyebabkan ia masih mudah dilihat. Bagi dron kami, keseluruhan struktur turut berputar, jadi tiada bahagian yang kekal statik,” jelasnya.
Selain mampu menjadi senjata medan perang moden, penyelidik juga berharap teknologi itu dapat digunakan bagi memantau hidupan liar, menjalankan tinjauan alam sekitar dan memeriksa infrastruktur tanpa mengganggu pemandangan. – AGENSI










