Menteri Israel sertai perarakan tuntut petempatan haram dibina semula di Gaza - Utusan Malaysia

Menteri Israel sertai perarakan tuntut petempatan haram dibina semula di Gaza

AKTIVIS berhaluan kanan Israel berkumpul di kawasan sempadan dengan Semenanjung Gaza semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Beberapa ahli Kabinet dan Ahli Parlimen Israel dilaporkan menyertai satu perarakan menuju ke Gaza bagi mendesak pembinaan semula petempatan haram Yahudi di wilayah Palestin yang dijajah rejim Zionis.

Perarakan yang berlangsung pada Ahad itu diadakan dengan melanggar perintah ketenteraan yang menyekat laluan mereka pada saat-saat akhir, berikutan kebimbangan bahawa sebahagian peserta merancang untuk menceroboh pagar sempadan masuk ke wilayah Gaza.

Perhimpunan tersebut menjadi petanda terbaharu bagaimana tuntutan untuk menduduki semula Gaza kini telah beralih daripada kumpulan politik pinggiran kepada arus perdana politik Israel.

Malah, parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu turut disenaraikan sebagai antara penaja perhimpunan itu, meskipun beliau sebelum ini berkeras menegaskan bahawa Gaza tidak akan diduduki semula.

Terdahulu, tentera Israel telah mengisytiharkan kawasan sekitar parhimpunan sebagai zon larangan ketenteraan selama 24 jam atas alasan bagi menghalang para peserta daripada melintasi sempadan ke Gaza.

Kumpulan peneroka haram yang menggerakkan acara berkenaan menggelar perhimpunan itu sebagai ‘Perarakan Ribuan Penduduk.’ Ia mendakwa lebih 10,000 orang hadir, walaupun laporan media Israel menganggarkan jumlah kehadiran hanya sekitar beberapa ratus orang.

Ia dipimpin oleh Daniella Weiss, seorang tokoh yang sekian lama memperjuangkan penempatan semula Israel di Gaza. Ketika berucap dalam satu persidangan parti Likud, beliau secara lantang menyatakan bahawa rakyat Palestin akan ‘lenyap’ dari wilayah berkenaan.

Rakaman video yang disahkan oleh unit pengesahan Al Jazeera menunjukkan berpuluh-puluh warga Israel berkumpul di pagar sempadan.

Menurut laporan media Israel, perarakan itu turut disertai oleh Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang juga menyelia hal ehwal petempatan haram, Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir, selain lebih dua belas menteri serta ahli parlimen. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN