Manila bantah video media China gambarkan Filipina sebagai ‘monyet’

Manila bantah video media China gambarkan Filipina sebagai ‘monyet’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina mengemukakan bantahan diplomatik kepada Beijing pada Jumaat berhubung satu video berunsur perkauman yang disiarkan media kerajaan China, menggambarkan negara itu sebagai watak kartun berbentuk monyet.

Video yang dimuat naik oleh China Daily itu merupakan perkembangan terbaharu dalam pertikaian berpanjangan antara dua negara jiran Asia berkenaan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Timbalan Setiausaha Luar Filipina, Leo Herrera-Lim terlebih dahulu menyampaikan bantahan tegas terhadap kandungan yang menyinggung perasaan itu dalam pertemuan dengan Duta China ke Manila, Jing Quan pada Khamis, menurut kenyataan Jabatan Luar Filipina.

Herrera-Lim turut menuntut supaya bahan berkenaan diturunkan, sambil menegaskan kandungan sedemikian bercanggah dengan prinsip saling menghormati yang sepatutnya wujud antara negara serta tidak membantu usaha mengekalkan hubungan dua hala yang stabil.

“Jabatan itu kemudiannya mengeluarkan bantahan diplomatik rasmi bagi mengecam video dan kartun berkenaan, sambil menyatakan China Daily telah melampaui batas perdebatan politik yang sah dengan menggunakan gambaran menghina, merendahkan martabat dan berunsur perkauman terhadap rakyat Filipina,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Filipina di Beijing turut menghantar surat kepada ketua pengarang akhbar berkenaan, menuntut supaya bahan yang dianggap menyinggung itu segera dipadamkan.

Dalam video berdurasi kira-kira seminit yang disiarkan di laman Facebook China Daily itu, seekor monyet yang memakai pakaian tradisional Filipina dikenali sebagai barong digambarkan sebagai watak pemalu sebelum ditolak ke pentas karaoke di atas sebuah bot.

Apabila watak itu mula menyanyikan lirik yang dilihat menyokong pendirian China dalam rundingan persempadanan maritim dengan Manila dan Tokyo, satu suara kedengaran menjerit ‘lagu salah’ sebelum menyerahkan sekeping kertas bertulis ‘Anugerah Timbang Tara Laut China Selatan’.

Kemudian, tangan yang membawa bendera Amerika Syarikat (AS) dan Jepun memasukkan monyet itu ke dalam alat lastik sebelum dicampakkan ke arah pancutan air, yang merujuk kepada penggunaan meriam air oleh pengawal pantai China dalam beberapa pertemuan dengan nelayan dan anggota maritim Filipina.

Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro dalam kenyataan pada Khamis malam berkata, video itu menunjukkan keganasan terhadap rakyat dan anggota tentera Filipina digambarkan sebagai sesuatu yang wajar”, sambil menyifatkannya sebagai bukti kelemahan moral dan intelektual jentera propaganda China.

“Tindakan terbaharu dalam usaha merendahkan martabat ini sekali lagi menunjukkan mereka bukan aktor yang yakin dan kukuh, mahupun jiran yang boleh dipercayai,” katanya.

Jurucakap Kedutaan China di Manila memberitahu AFP pihaknya mengambil maklum reaksi kerajaan Filipina terhadap hantaran China Daily itu.

Filipina pada Ahad lalu memperingati ulang tahun ke-10 keputusan timbang tara antarabangsa yang menyatakan tuntutan Beijing terhadap sebahagian besar kawasan strategik Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.

Manila turut mengeluarkan kenyataan bersama yang ditandatangani 13 negara lain termasuk Jepun dan AS, yang menyifatkan keputusan 2016 itu sebagai mengikat dari segi undang-undang.

Namun Beijing berulang kali menolak keputusan berkenaan, menyifatkannya tidak sah serta menuduh kenyataan bersama itu sebagai cubaan memutarbelitkan fakta dan memburukkan China.

Bulan lalu, Beijing mengenakan sekatan terhadap Teodoro selepas beliau mengkritik aktiviti China di Laut China Selatan, termasuk larangan memasuki tanah besar China, Hong Kong dan Macau.

Pada Januari, China turut mengemukakan bantahan diplomatik selepas jurucakap pengawal pantai Filipina, Komodor Jay Tarriela memuat naik gambar dirinya berucap dengan latar belakang himpunan imej satira Presiden China, Xi Jinping.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN