Makam berusia 3,000 tahun ditemukan di selatan Mesir - Utusan Malaysia

Makam berusia 3,000 tahun ditemukan di selatan Mesir

SEKUMPULAN ahli arkeologi menemukan makam berusia 3,000 tahun. - FACEBOOK/Kementerian Pelancongan dan Atikuiti/AnisAlamgir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Sekumpulan ahli arkeologi berjaya menemukan sebuah makam berusia 3,000 tahun berhampiran bandar Luxor di selatan Mesir, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Ahad. 

Penemuan tersebut merupa­kan siri pembongkaran sejarah terbaharu yang diharapkan dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara itu.

Makam yang dikenal pasti milik seorang lelaki bernama Paser itu ditemukan oleh misi arkeologi Belanda dari Universiti Leiden di kawasan perkuburan purba Sheikh Abd el-Qurna yang terletak di Tebing Barat Luxor, demikian menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir. 

Pasukan ahli arkeologi ber­kenaan akan menjalankan kajian lanjut bagi mengenal pasti identiti individu-individu yang dikebumikan di situ serta memperincikan latar belakang mereka.

Berdasarkan gaya seni tulisan ukiran yang ditemukan, para pakar percaya bahawa makam itu berasal dari zaman firaun ia­itu era yang merangkumi Dinasti Ke-19 dan Ke-20 Mesir purba.

Tambah pihak berkuasa, makam yang terletak di sebe­lah timur kawasan perkuburan yang sedia diketahui sebelum ini dibina mengikut reka letak tradisional makam peribadi era kota purba Theban dari zaman Kerajaan Baharu (1570-1069 Sebelum Masihi).

Struktur makam tersebut terdiri daripada sebuah halaman terbuka yang menghala ke sebuah ruang ibadat kecil daripada batu berbentuk huruf ‘T’ terbalik. Terdapat  ruang pengebumian dipahat di bawah paras tanah.

Sementara itu, di kawasan halaman, pasukan arkeologi turut menemukan beberapa ele­men seni bina yang masih terpelihara dengan baik. Ia adalah termasuk sebuah bangku batu bata lumpur yang berfungsi untuk meletakkan batu bersurat pengebumian dan tangga diapit oleh tanjakan condong menuju ke pintu masuk.

Menjengah ke bahagian da­lam, ukiran batu yang tertera nama Paser memaparkan visual lelaki itu sedang menyembah pelbagai dewa di dalam kuil. Terdapat juga visual beliau duduk bersama isterinya di hadapan sebuah meja persembahan.

Pasukan penggalian tersebut memaklumkan bahawa usaha dokumentasi dan kajian susulan akan diteruskan bagi menentukan siapa sebenarnya yang di­semadikan di dalam makam itu, sekali gus memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai konteks sejarah dan arkeologi­nya. 

Penemuan terbaharu ini berlaku ketika Mesir sedang giat mempromosikan penemuan ar­keologi baharu bagi menyokong sektor pelancongan, yang menjadi antara sumber utama tukaran mata wang asing buat negara berkenaan.

Luxor sememangnya ter­kenal sebagai lokasi yang me­nempatkan beberapa monumen purba dan tapak arkeologi pa­ling signifikan di dunia. 

Menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti, pene­muan terbaharu ini adalah sebahagian daripada projek penyelidikan yang telah dijalankan secara berterusan sejak 2018.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN