WASHINGTON: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengarahkan Presiden Donald Trump supaya membayar AS$5 juta (RM20 juta) kepada penulis E. Jean Carroll selepas juri dalam kes sivil mendapati beliau melakukan serangan seksual dan memfitnah wanita tersebut.
Minggu lalu, Mahkamah Agung menolak untuk mendengar rayuan Trump terhadap keputusan asal pada Mei 2023 yang memerintahkannya membayar ganti rugi AS$2 juta (RM8 juta) serangan seksual dan AS$3 juta (RM12 juta) bagi kenyataan berunsur fitnah.
Carroll, bekas wartawan dan kolumnis yang kini berusia 82 tahun, menuduh presiden itu menyerangnya di sebuah bilik persalinan di pusat serbaneka di New York pada 1996.
Apabila dakwaan itu diterbitkan dalam sebuah buku pada 2019, Trump menggelar Carroll sebagai orang gila dan mendakwa wanita itu mereka-reka tuduhannya.
Dengan menolak rayuan tersebut, Mahkamah Agung menjadikan keputusan itu sebagai keputusan muktamad.
Pada Rabu, hakim persekutuan Lewis Kaplan mengarahkan supaya wang sebanyak AS$5 juta yang sebelum ini diwajibkan Trump menyimpannya sebagai deposit kepada mahkamah dibayar kepada Carroll.
Keputusan itu turut memerlukan pembayaran faedah terkumpul, tetapi jumlahnya tidak dinyatakan.
Dalam satu lagi kes fitnah berasingan di New York, Trump telah diarahkan membayar AS$83.3 juta (340 juta) kepada Carroll. Keputusan itu dikekalkan selepas rayuan, tetapi pelaksanaannya masih digantung.
Pada akhir Mei, media Amerika melaporkan bahawa Carroll sendiri sedang disiasat secara jenayah, yang disifatkan sebagai contoh terbaru kesediaan Trump menggunakan sistem keadilan terhadap musuh politiknya. – AFP










